Langkah mengejutkan yang diambil Parlimen Malaysia melalui sepucuk surat bertarikh 16 Oktober 2020 yang dihantar Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia kepada ketua-ketua pengarang media, memaklumkan bahawa hanya 15 media yang dinamakan di dalam surat tersebut akan dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan sepanjang sidang Parlimen dari 2 November ke 23 Disember ini merupakan satu diskriminasi.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil langkah mengundur ke belakang itu hanya akan menyebabkan laporan yang kurang seimbang, sama ada dari seri perbahasan atau sidang media Parlimen, dilaporkan oleh media-media terpilih.
"Saya kesal arahan pihak Parlimen menghalang media, terutama media atas talian, dari menghadiri dan membuat liputan sidang Parlimen terutama pada ketika Belanjawan 2021 akan dibentang dan dibahas.
"Sebenarnya inilah waktu paling penting untuk lebih banyak media hadir membuat liputan, kerana sidang akan memperlihat perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat bagi tahun akan datang.
"Dalam keadaan ekonomi yang suram dan negara dilanda wabak Covid 19, semestinya bagaimana kerajaan mengurus perbelanjaannya akan menjadi perhatian semua.
"Perlu diingatkan media adalah estet keempat dan salah satu tiang seri demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Fahmi, sekiranya keterbatasan ruang Parlimen menjadi alasan maka terdapat pelbagai cara untuk membenarkan media terus membuat liputan dengan sedikit penyesuaian atau pengubahsuaian ruangan yang sedia ada.
"Sekiranya benar pihak Parlimen berpandangan ruang petugas media tidak mencukupi, saya percaya terdapat banyak ruang yang boleh diubahsuai menjadi tempat petugas media.
"Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik-bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah juga bangunan pejabat Ahli-Ahli Parlimen boleh diubahsuai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar SOP MKN dan KKM.
"Malah jika perlu, khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk para VIP sewaktu program-program Kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media.
"Bak kata pepatah, 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'," sinis Fahmi.
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya itu sebaliknya memberi amaran, sekiranya Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun tidak mengambil pendirian yang lebih positif dalam hal berkenaan maka rakyat akan hilang kepercayaan terhadap laporan sidang Parlimen. Seterusnya hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen itu sendiri.
"Kehadiran media di Parlimen penting, terutama dari sudut kebebasan bersuara. Malah yang saya risau arahan ini bakal menimbulkan salah faham dengan membayangkan Parlimen mengekang kebebasan bersuara dan hanya membenarkan pandangan rasmi sahaja diterbitkan.
"Masa masih ada, dan saya lihat Datuk Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, boleh membetulkan keadaan. Saya memohon agar Datuk Speaker mempertimbang semula arahan yang dikeluarkan pentadbiran Parlimen ini, bukan sahaja demi kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga demi kemuliaan Dewan Rakyat itu sendiri," katanya lagi.
Comentarios