top of page

Halau Farzana: Henti budaya ganas, sekat perbezaan politik - Yazid

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
13 hours ago
2 min read
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan

Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) lantikan Umno yang didakwa menghalau Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir daripada menghadiri perasmian Program Kampung Angkat MADANI, disifatkan sebagai tindakan angkuh dan biadab.


Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan menegaskan, Pengerusi JPKK berkenaan mesti memberikan penjelasan dan memohon maaf kepada Farzana dan kepimpinan Umno negeri juga mesti menyatakan pendirian mereka.


"Farzana hadir sebagai anak kariah di kampung sendiri, tanpa baju atau lambang parti. Beliau sendiri mengusahakan program itu dibawa ke kampungnya.


"Apabila tiba perasmian, beliau pula dihalau. Jawatan JPKK bukan lesen membuli penduduk. Kita masih ingat ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Katil pada 7 Mac 2013.


"Bas yang dinaiki beliau dibaling batu sehingga cerminnya pecah. Budaya kekerasan dan menyekat perbezaan politik mesti dihentikan," katanya menerusi satu kenyataan.


Yazid berkata, Umno-BN perlu menghentikan sikap menganggap kampung, balai raya dan program kerajaan sebagai milik parti kerana kemudahan serta inisiatif berkenaan adalah untuk seluruh rakyat tanpa mengira kecenderungan politik.


Ujarnya, rakyat bukan menumpang menumpang di kampung sendiri, sebaliknya JPKK perlu berperanan menjaga kebajikan penduduk dan bukannya bertindak sebagai penjaga ‘pintu’ Umno.


Semalam, Farzana dilaporkan meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas diminta meninggalkan kawasan masjid di Bukit Rambai pada jam 9.22 pagi ketika menghadiri program Kampung Angkat MADANI itu, atas dakwaan kehadirannya membawa unsur politik.


Menurut Farzana, beliau sudah pun menjelaskan bahawa kehadirannya sebagai anak jati Bukit Rambai tidak disertai pemakaian logo parti atau bahan kempen, namun keadaan menjadi tegang sehingga beliau ditengking di hadapan orang ramai.


"Terus terang, saya memang ada sedih dan kecewa sedikit kerana saya diminta oleh seorang puan ini untuk keluar dari kawasan masjid kerana didakwa membawa unsur politik ke dalam masjid.


"Saya terangkan kepada puan itu, saya berbaju kurung, saya tak bawa apa-apa logo parti dan sebarang bahan kempen jadi di mana yang mengatakan saya bawa unsur politik?" katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook rasminya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page