Global Sumud: ADALAH peguam kepada 29 rakyat Malaysia diculik tentera Israel
- Suara Keadilan

- May 21
- 1 min read

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) kini terputus hubungan sepenuhnya dengan semua delegasi Global Sumud Flotilla dan rakyat Malaysia selepas mereka ditahan rejim zionis di laut antarabangsa.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilatih sebelum misi bermula, semua peserta diminta membuang telefon bimbit masing-masing apabila berdepan situasi genting bagi mengelakkan data peribadi dan dokumen penting jatuh ke tangan Israel.
"Apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia," katanya pada sidang media di Sepang semalam.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) akan menjadi wakil peguam kepada 29 rakyat Malaysia peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang diculik tentera Israel.
Selain itu, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) juga sudah digerakkan lebih awal melalui kerjasama antarabangsa termasuk di Greece, Jordan dan Mesir bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Pasukan ADALAH yang berada di lapangan khususnya di Pelabuhan Ashdod masih belum dapat mengesahkan kehadiran semua tahanan terbabit.
"Kita nampak ada helah (dari pihak zionis Israel) apabila mereka melambatkan tahanan ini dibawa ke darat kerana sebaik sahaja dibawa masuk ke darat, mereka perlu akur dengan undang-undang yang mereka sendiri tetapkan dalam tempoh 24 jam.
"Pihak kita sudah bersedia dan sekiranya semua tahanan tiba di Pelabuhan Ashdod, ADALAH bersedia menjadi wakil peguam," kata beliau.
Dr Sani Araby turut berkata, tekanan antarabangsa kini semakin memuncak kerana misi flotila kali ini turut disertai individu berprofil tinggi termasuk adik kepada Presiden Ireland.
"Bukan sahaja ada aktivis biasa, tetapi mereka mewakili pelbagai blok dan organisasi antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU)," tambahnya.




Comments