Gelombang hijau yang melanda Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang diharapkan reda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu tetapi kekal bergelora, perlu dikaji oleh parti komponen Pakatan Harapan dan BN apakah penyebab sebenar hal itu berlaku.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tidak wajar gelombang Melayu menolak Kerajaan Perpaduan itu diambil mudah atau menuduh melulu PN mengelirukan rakyat menggunakan isu kaum dan agama semata mata.
Katanya, kajian yang lebih rapi perlu dibuat terutama dari aspek 'isu teras Melayu' sehingga melahirkan penolakan secara besar dan berterusan.
"Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan rakyat di dalam PRN lepas adalah tepat dan sangat wajar.
"Kenyataan Anwar bahawa rakyat tidak patut disalahkan adalah satu kenyataan yang sungguh bertanggungjawab. Pendirian PM itu cukup mententeramkan demi mewujudkan suasana penyatuan semula negara.
"(Pasa masa sama) Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta lain-lain parti politik yang berjumlah keseluruhannya 19 buah dalam hal ini perlu bermuhasabah dan melakukan proses kritik diri.
"Adalah perlu PH-BN khususnya bertanya mengapakah orang Melayu Islam di negeri lingkaran Melayu menolak Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar dan sebagai alternatifnya mereka memilih PN?
"Tentu ada sebab konkrit mengapa pengundi menolak parti-parti politik yang kini mendukung kerajaan pusat di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.
Hassan mengutarakan sejarah panjang penindasan kerajaan pusat sebelum ini terhadap rakyat di Pantai Timur dengan menyekat peruntukan kepada negeri pembangkang sehingga rakyat di negeri berkenaan tidak terlalu mengharapkan kemajuan dibawa oleh pentadbiran di Putrajaya.
Malah, katanya mereka mempunyai mentaliti bahawa janji janji yang sering ditabur oleh kerajaan pusat sebelum pilihanraya tidak semestinya menjadi kenyataan.
"Saya ingin mengemukakan satu sebab utama (penolakan) iaitu isu ekonomi dan ketidakadilan kerajaan pusat ke atas negeri-negeri Melayu Islam di jajaran timur serta utara sejak berdekad-dekad lamanya
"Kadar kemiskinan antara yang tertinggi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Bukan sekarang tetapi sejak dahulu lagi. Sehingga kini, di empat negeri Melayu Islam majoriti ini pembangunan ekonomi, pembangunan industri, pembangunan pertanian, malah sebut apa saja jenis pembangunan fizikal dan material amat tercicir
"Ini semua bukan salah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang belum sampai setahun lagi. Ini adalah dosa kerajaan persekutuan pimpinan BN-UMNO di Kuala Lumpur dan Putrajaya selama lebih 60 tahun menganaktirikan negeri-negeri Melayu Islam di jajaran Kelantan dan Terengganu," katanya.
Dalam pada itu, Hassan juga membawakan contoh peruntukan ahli parlimen yang sering tidak diberi oleh kerajaan pusat BN sebelum ini kepada wakil rakyat pembangkang.
Menurut beliau lagi, gelombang penolakan di PRN tersebut lebih kepada BN yang telah lama berkuasa dan rakyat di Pantai Timur serta Utara belum melihat mereka telah berubah. PH pula menjadi mangsa keadaan kerana menjadi rakan sekutu.
Bagaimanapun katanya, apabila PN gagal menguasai 3 negeri di Pantai Barat maka harapan masih ada untuk gabungan itu mengubah arah sokongan dalam pilihanraya berikutnya.
"Dalam keadaan yang suram dan gelap landskap politik sekarang ini, ia tetap menjanjikan harapan kepada PH pada masa yang akan datang.
"PH tetap menjadi pilihan masa depan bagi rakyat Malaysia pelbagai kaum dan pelbagai agama di seluruh negara iaitu di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.
"Dari segi falsafah kenegaraan, PH mempunyai jalan penyelesaian yang lebih jelas, komprehensif, realistik lagi pragmatik berbanding PN yang tiada dasar pembangunan yang meyakinkan.
"PH yang mempunyai agenda reformasi dan program wawasan Madani yang inklusif menawarkan visi masa hadapan negara untuk tahun-tahun yang akan datang. Ucapan PM Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa wawasan Madani perlukan masa untuk rakyat memahami dan menerimanya adalah tepat," kata Hassan.
Beliau percaya sekiranya wawasan Malaysia Madani dilaksanakan secara bersungguh-sungguh di seluruh negara tanpa kecuali, dan pendekatan yang adil serta inklusif diamalkan dari atas hingga ke bawah maka pada akhirnya rakyat Melayu Islam di seluruh negara termasuk di negeri-negeri jajaran timur dan utara Semenanjung akan terbuka hati dan minda untuk menerima perubahan.
"Jadi jangan takut dan panik dengan fenomena gelombang hijau. Ia adalah fenomena politik, bukan momok atau hantu," katanya lagi.
Sy rasa lebih baik kaji di bahagian kementerian Komunikasi sebab tiada apa2 tindakan yg di jalankan atau sekatan dimana-mana mediasosial yg berbau hasutan dan fitnah dan sy cadangan menteri Komunikasi di tukar segera sebelum terlambat.. Terima kasih.