Fuziah seru anggota KEADILAN terus bangkit
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 2 min read

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) menyeru seluruh anggota parti supaya tidak takut kepada kegagalan, sebaliknya terus bangkit mempertahankan idealisme dan meneruskan perjuangan untuk masa depan yang lebih baik.
Dalam ucapannya, Fuziah berkata perjuangan politik tidak seharusnya terhenti hanya kerana berdepan kekalahan, tekanan atau pelbagai cabaran kerana setiap ujian perlu dijadikan kekuatan untuk bangkit semula.
"Jangan takut gagal kerana kita tidak boleh gagal. Kita mesti mempunyai keberanian untuk berkata, kita akan bangkit dan kita akan meneruskan perjalanan ini," katanya dalam ucapan aluan oleh Setiausaha Agung KEADILAN.
Beliau berkata anggota KEADILAN perlu memiliki semangat juang yang tinggi serta tidak membiarkan sebarang keadaan melemahkan keyakinan terhadap perjuangan parti.
Menurutnya, perjuangan mungkin menyebabkan seseorang terluka atau mengalami kekalahan dalam sesuatu pertempuran, namun perkara itu tidak bermakna perjuangan keseluruhannya telah berakhir.
"Kita mungkin terluka, tetapi kita tidak akan menyerah. Kita akan bangun, kita akan bangkit dan kita akan kembali dengan idealisme, dengan disiplin dan dengan perjuangan informasi," katanya.
Fuziah turut menggunakan ungkapan penuh semangat bagi menggambarkan ketahanan anggota parti dalam menghadapi cabaran.
"Patah siku, bertongkat kuku; patah kuku, bertongkat sayap; patah sayap, bertongkat dagu. Namun, lawan tetap lawan," ujarnya.
Beliau kemudian menegaskan bahawa kekalahan dalam satu pertempuran tidak seharusnya dilihat sebagai kekalahan keseluruhan perjuangan.
"Kita mungkin telah kalah dalam pertempuran, tetapi kita akan menang perang, insya-Allah," katanya yang disambut dengan semangat oleh anggota dan perwakilan.
Dalam masa sama, Fuziah mengingatkan anggota KEADILAN supaya terus memperkukuh idealisme, pemikiran dan perjuangan reformasi bagi memastikan mesej parti terus sampai kepada masyarakat.
"Kita akan bangkit dan kita akan terus berjuang. Insya-Allah, kita akan menang. Kita boleh terus berjuang bersama-sama," katanya.
Beliau turut menyeru anggota supaya menjadikan setiap pengalaman sebagai ruang untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh gerak kerja parti.




Comments