FIM Siri 6: PM Anwar jadi moderator, dengar isu pengangkutan awam
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan keprihatinan terhadap cabaran sistem pengangkutan awam negara pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) di Menara Prasarana, Petaling Jaya malam tadi.
Forum siri ke-6 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu membincangkan topik 'Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam'.
Dipengerusikan sendiri oleh beliau, forum turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah selaku ahli panel.
"Bila negara membangun dan penduduk bertambah, ia menuntut perubahan dalam sistem pengangkutan.
"Sebagai kerajaan sudah tentu kita mesti ambil berat dalam soal pengangkutan awam ini supaya berlandaskan prinsip kemampanan dan keadilan sosial," kata Anwar dipetik pada acara itu.
Beberapa isu telah dibangkitkan ahli panel dan hadirin dalam forumn tersebut yang antara lain berkaitan isu kesesakan, kebolehpercayaan dan akses sistem pengangkutan awam.
Turut disentuh ialah keperluan untuk memperbaiki integrasi sistem, menjadikannya mampu milik dan lebih lestari supaya dapat memberi manfaat lebih besar kepada golongan pengguna terutama yang berpendapatan rendah.
FIM menjadi platform interaktif kerajaan untuk mendapatkan input daripada ahli akademik, pembuat dasar dan sektor industri dalam merangka dasar-dasar penting yang berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri menyifatkan penganjuran forum seperti ini sebagai usaha penting dalam membina budaya diskusi intelektual ('aqliyah') yang sihat di negara ini.
"Kita mahu melatih budaya mendengar, menegur dan memperinci sesuatu isu dari semua aspek – berbeza daripada naratif media sosial atau politik di luar yang kadang-kadang tidak berpaksikan fakta yang benar," katanya.
Comments