Festival Sabah Foodstreet Tenom 2026 rancakkan ekonomi usahawan tempatan
- Suara Keadilan

- 45 minutes ago
- 2 min read

Festival Sabah Foodstreet Tenom 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah menerusi Majlis Perasmian Penutupan yang berlangsung di Padang Pekan Tenom.
Festival yang berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 Julai lalu telah berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung dari sekitar Tenom dan kawasan berhampiran.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar. Kehadiran beliau membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti serta memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana.
Majlis penutupan juga diserikan dengan persembahan artis jemputan, termasuk Bella Astilla bersama barisan artis tempatan yang berjaya menghiburkan para pengunjung sepanjang malam.
Festival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Peniaga Muda Bersatu Sabah dengan matlamat menyediakan platform kepada usahawan tempatan bagi mempromosikan produk dan perniagaan mereka, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan pendapatan para peniaga.

Menurut Junaidah Makku @ Junn, Exco Wanita KEADILAN Pusat yang turut menjadi rakan penganjur bersama Michelle Mandy Angoh selaku Pengerusi Persatuan, penganjuran festival ini bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga memperluaskan pasaran, malah menjadi medium mengeratkan hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang festival.
"Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja menghidupkan suasana bandar Tenom, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan tempatan dan membantu meningkatkan sektor pelancongan daerah," kata Junn.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Jamawi Jaafar yang juga ADUN Melalap, Tenom atas kesudian hadir merasmikan majlis penutupan serta sokongan dan sumbangan beliau dalam menjayakan penganjuran Festival Sabah Foodstreet Tenom 2026.
Penghargaan turut dizahirkan kepada SUPOL Herbert Roger London, juga Ketua Cabang KEADILAN Tenom yang sentiasa memberikan kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung termasuk memastikan perjalanan festival berjalan dengan lancar dan teratur.




Comments