Fakharuddin tumpu perkasa ekonomi DUN Pasir Raja, tingkat peluang kerja
- Akmal Manaf

- 13 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja, Fakharuddin Moslim menggariskan tiga tekad utama yang memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi setempat, penaiktarafan infrastruktur serta pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan belia sebagai komitmen kepada rakyat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Fakharuddin berkata, Pasir Raja mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan luar bandar yang maju menerusi sektor pertanian, pelancongan berasaskan alam semula jadi, industri asas tani serta perusahaan kecil.
Namun ujarnya, rakyat masih berdepan cabaran seperti peluang pekerjaan yang terhad, kemudahan asas yang memerlukan penambahbaikan dan keperluan mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda.
"Tekad pertama ialah memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi setempat melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan, pembangunan keusahawanan supaya anak-anak tempatan tidak perlu berhijrah semata-mata untuk mencari rezeki.
"Saya juga komited memperkasa usahawan kecil, peniaga dan komuniti peneroka FELDA melalui latihan, akses kepada pembiayaan, pemasaran digital serta program pembangunan perniagaan yang mampu meningkatkan daya saing mereka.
"Tekad kedua pula memfokuskan kepada penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan awam. Saya akan memperjuangkan penyelesaian terhadap isu jalan raya yang rosak, sistem perparitan yang kurang sempurna serta penyelenggaraan infrastruktur secara lebih terancang dan berkala bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.
"Saya juga akan memberi perhatian kepada keperluan menambah lampu jalan di kawasan berisiko, termasuk di laluan masuk ke FELDA Bukit Besar dan kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya," katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas tekad ketiga, Fakharuddin berkata, beliau komited memperjuangkan lebih banyak program latihan kemahiran, TVET dan peningkatan kebolehpasaran supaya anak-anak muda mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri masa kini.
Beliau turut komited memperluaskan peluang latihan industri dan kerjaya melalui kerjasama dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor swasta agar lebih ramai belia mendapat pendedahan serta pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan.
"Ketiga-tiga tekad ini bukan sekadar manifesto pilihanraya, tetapi merupakan komitmen saya untuk memastikan pembangunan Pasir Raja dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.
"Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap isu rakyat dibawa kepada perhatian pihak berkaitan serta setiap peluang pembangunan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Pasir Raja," katanya lagi.
Pada 11 Julai nanti, Fakharuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru di DUN N.35 Pasir Raja menentang mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN), Yuhanita Yunan.




Comments