Enam ikhtiar: Bukti Kerajaan MADANI mendengar, usaha selesai masalah rakyat - AMK
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai cerminan manifestasi Kerajaan MADANI yang mendengar dan bertindak terhadap suara rakyat.
Setiausaha AMK Pusat, Omar Mokhtar A Manap berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman enam ikhtiar tambahan untuk rakyat yang merangkumi aspek kos sara hidup, pendidikan, peluang digital anak muda, kesihatan awam dan kelangsungan perniagaan kecil.
"Kerajaan MADANI mendengar, menilai dan bertindak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara langkah diumumkan ialah pengembalian kelayakan BUDI MADANI kepada 300 liter bagi BUDI95 dan 400 liter bagi BUDI Diesel.
Selain itu, kerajaan turut menambah RM500 juta, menjadikan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 sebanyak RM1.5 bilion.
"Lebih bermakna, sebahagian daripada perkara yang diumumkan merupakan antara aspirasi dan tuntutan yang telah dibawa oleh AMK dalam Kongres Nasional KEADILAN baru-baru ini.
"Ini membuktikan bahawa suara anak muda dan akar umbi mempunyai ruang dalam proses pembentukan dasar Kerajaan," katanya.
Omar berkata, kerajaan juga memperkenalkan program langganan kecerdasan buatan (AI) percuma selama tiga bulan dengan sasaran awal 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Menurutnya, langkah itu penting dalam memperluas akses anak muda kepada teknologi digital dan memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi berasaskan teknologi.
Dalam aspek kesihatan awam, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi mempercepatkan pendigitalan sektor berkenaan melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta, selain menyediakan RM200 juta Geran Sejahtera MADANI.
Bagi membantu perusahaan mikro, tambahan RM1 bilion turut disediakan kepada pembiayaan perniagaan mikro 2026, menjadikan jumlah keseluruhannya RM6 bilion.
Ujar Omar, keseluruhan langkah berkenaan menunjukkan pentadbiran Kerajaan MADANI responsif terhadap realiti kehidupan rakyat.
"AMK melihat langkah ini sebagai manifestasi sebuah pentadbiran yang responsif terhadap realiti kehidupan rakyat.
"Setelah negara melalui proses pemulihan dan pengukuhan fiskal, kecekapan pentadbiran serta disiplin pengurusan ekonomi kini perlu terus diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat," katanya lagi.




Comments