Empat sekatan utama terhadap tahanan rumah, Najib Razak


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tertakluk kepada empat kategori sekatan sepanjang menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, termasuk kawalan pergerakan, larangan penggunaan telefon dan media sosial serta larangan terbabit dalam sebarang aktiviti politik.
Menjelas perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seperti yang dinyatakan dalam syarat Lembaga Pengampunan, Najib juga perlu menghadiri program pemulihan dan intervensi.
"Penjara juga dibenarkan untuk mengadakan syarat-syarat yang bertujuan untuk menyediakan kawalan dan seliaan juga arahan dan tatacara.
"Semua itu telah dibacakan kepada Datuk Seri Najib dua hari lepas sebelum (beliau) dikeluarkan daripada penjara dan dihantar ke Jalan Langgak Duta.
"Keputusan Lembaga Pengampunan berkenaan tempat tinggal disebut dengan jelas (iaitu) Nombor 11, di Jalan Langgak Duta.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri (Seksyen 3 Akta Penjara) cuma mewartakan premis itu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] yang ingin tahu apakah syarat-syarat khusus yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib dalam menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dan agensi manakah yang bertanggungjawab memantau pematuhan syarat tersebut.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu juga disebut tidak dibenarkan untuk berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain dan tidak dibenarkan keluar daripada alamat itu melainkan dengan izin bertulis.
Sebagai contoh kata Saifuddin mengenai izin bertulis itu ialah sekiranya Najib mahu pergi menunaikan solat Jumaat.
"Tidak dibenarkan tinggal bersama dengan seseorang lain selain daripada ahli keluarga kamu terdiri isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
"Lembaga Pengampunan sebut siapa yang boleh tinggal. Selain daripada itu kena ada kebenaran bertulis, tak dibenarkan menerima tetamu melainkan dengan izin bertulis.
"Kedua sekatan dari segi sekatan penggunaan telefon, tidak dibenarkan guna telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan di Jabatan Penjara untuk tujuan mengesahkan berada di rumah apabila dihubungi oleh pihak penjara," katanya lagi.
Selain itu kata Saifuddin, Najib juga tidak dibenarkan mendedahkan diri dari mana-mana liputan media atau platform media sosial seperti membuat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media.
Ujarnya, Najib juga tidak boleh melibatkan diri dalam majlis keramaian dan mengambil bahagian dalam aktiviti politik.
"Hal-hal ini merupakan sekatan, syarat-syarat yang telah dinyatakan dalam Lembaga Pengampunan untuk dilaksanakan.
"Ada juga kewajipan untuk melaksanakan program pemulihan. Ketika KDN membina syarat-syarat ini, kita kena pandang jauh, syarat ini bukan hanya dibuat khusus untuk sekarang ini, tapi juga sebagai persiapan hari mendatang kalau ada kes seumpamanya," ujar beliau lagi.




Comments