Elaun cuti bersalin PERKESO bakal manfaat 100,000 ibu bekerja - Ramanan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang membangunkan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.
Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata ketika ini kementeriannya sedang meneliti cadangan pelaksanaan elaun bantuan cuti bersalin menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Elaun yang dicadang itu dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu bekerja di seluruh negara, kata beliau.
“Wanita bukan sekadar penyumbang malah pemacu utama ekonomi negara,” katanya pada “Program Bicara dan Perkongsian, Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja KESUMA Bangsa” di Subang pada Khamis.
Program dihadiri kira-kira 500 orang itu merupakan platform strategik kerajaan untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan, majikan dan pekerja.
Mengulas lanjut mengenai usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja, Ramanan menerusi satu kenyataan memaklumkan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerimanya menghadap semalam bagi mempersembahkan perkembangan terkini pembangunan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Terengganu.
"Pelaksanaan projek pembangunan ini antara pemangkin utama dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial negara khususnya dalam aspek pemulihan dan kebolehkerjaan semula pencarum PERKESO yang mengalami kecederaan atau hilang upaya.
“Ia dijangka memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan yang komprehensif dan bersepadu selari dengan komitmen kerajaan untuk memperluas akses kepada kemudahan kesihatan dan perlindungan sosial berkualiti di Terengganu,” menurut kenyataan itu.


Comments