Ekspo Ekonomi Kreatif Selango 2025: Meletakkan kreativiti di teras ekonomi - Najwan
- Suara Keadilan

- Sep 21
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) akan menganjurkan Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) pada 23–24 September ini di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.
Menurut satu kenyataan, ekspo yang bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy” itu akan disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, SCEE25 merupakan platform strategik untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
"Ekspo ini bukan sekadar acara—ianya adalah komitmen untuk membayangkan semula masa depan Selangor.
"Kami menjemput orang ramai untuk hadir, meneroka pameran, menyertai forum, menyaksikan persembahan secara langsung, dan menjadi sebahagian daripada gerakan yang meletakkan kreativiti di teras ekonomi kita," katanya.
Menurut beliau, ekspo berkenaan akan mengangkat tiga sektor utama ekonomi kreatif negeri iaitu seni budaya, seni multimedia dan warisan budaya, sejajar dengan sasaran Selangor untuk menjana output ekonomi kreatif bernilai RM20 bilion menjelang 2035.
Ekspo ini dibangunkan dengan empat teras utama CRE8 iaitu CRE8Policy, Sesi townhall dan forum dasar mengenai pembiayaan, pelesenan IP dan hab komuniti kreatif; CRE8Fund – Pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor bernilai RM80,000 bagi menyokong usahawan kreatif; CRE8Stage – Persembahan, pameran dan pitching menghubungkan budaya dengan ekonomi; dan CRE8Biz Xchange – Platform pemadanan perniagaan dengan pelabur, jenama dan agensi kerajaan.
Najwan berkata, SCEE25 juga akan memperlihatkan pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 pada sidang DUN akan datang, sebagai pelan induk membangunkan ekosistem kreatif yang mampan dan inklusif.
Ekspo “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy” akan diadakan pada 23–24 September 2025, jam 9.00 pagi – 4.30 petang di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam. Masuk adalah percuma dan pendaftaran serta maklumat penuh boleh dilayari: selangorcreative.com









Comments