top of page

Ekonomi Malaysia berkembang 5.8% suku kedua, atasi jangkaan pasaran

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua tahun ini apabila anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 5.8 peratus, didorong daya tahan permintaan domestik dan kesan daripada reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi itu mengatasi pertumbuhan 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama 2026 serta melepasi unjuran median ahli ekonomi sebanyak 5.2 peratus.


"Ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan meskipun dunia berdepan keberantakan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan perdagangan.


"Reformasi serta dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak lebih tiga tahun lalu telah memperkukuh asas ekonomi negara dan membolehkan Malaysia mendepani gelora ini dengan lebih yakin," katanya dalam hantaran di laman media sosial hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian tersebut membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan cabaran perdagangan antarabangsa.


Beliau yang melahirkan rasa syukur berkata prestasi memberangsangkan itu mengukuhkan keyakinan kerajaan untuk meneruskan agenda reformasi ekonomi yang memberi penekanan kepada pertumbuhan mampan, disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat.


Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara di samping memastikan pertumbuhan yang dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.


"Pencapaian ini menguatkan tekad kita untuk terus istiqamah pada landasan reformasi, memperkukuh daya tahan ekonomi serta mengimbangi tuntutan pertumbuhan, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab fiskal," katanya.


Malaysia merupakan antara ekonomi yang mencatat prestasi kukuh di rantau Asia Tenggara pada tahun ini, disokong pemulihan pelaburan, penggunaan domestik yang kekal teguh serta pelaksanaan pelbagai reformasi struktur di bawah Kerajaan MADANI.


Anwar menegaskan kerajaan akan terus memperhebat usaha bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi membawa manfaat langsung kepada rakyat.


"Kerajaan MADANI akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kekuatan ekonomi ini diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah buat seluruh rakyat, Insya-Allah," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page