e-COSS: Aduan minyak peket tiada di pasaran, sorok stok menurun
- Helmi Mohd Foad

- 4 hours ago
- 1 min read

Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan aplikasi Electronic Cooking Oil Subsidy System (eCOSS) terbukti berhasil apabila aduan berkaitan kekurangan atau ketiadaan bekalan minyak masak paket bersubsidi menurun 50.45 peratus.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata penurunan itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya hasil pemantauan lebih menyeluruh terhadap rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi.
"Berbanding dahulu, kita sering berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi.
"Ada kalanya, bekalan tidak sampai ke pasaran, berlaku sorok stok dan ketirisan yang akhirnya menyukarkan rakyat mendapatkan keperluan asas ini," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Fuziah berkata KPDN memperkenalkan eCOSS dan Mobile eCOSS bagi memperkukuh pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi, bermula daripada rantaian bekalan sehingga ke tangan pengguna.
Menurut beliau keberkesanan langkah itu turut dapat dilihat menerusi penurunan aduan berkaitan kegiatan menyorok stok sebanyak 60.26 peratus bagi tempoh Januari hingga April lalu berbanding tempoh sama pada 2025.
Beliau berkata Mobile eCOSS turut menggunakan sistem pengesahan identiti elektronik (eKYC) dan MyDigital ID bagi memastikan minyak masak bersubsidi dinikmati golongan yang layak.
Pada masa sama, bukan warganegara Malaysia dilarang sepenuhnya membeli minyak masak paket bersubsidi sejak 1 Mac lalu.
Fuziah berkata sehingga 3 Julai lalu, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia sudah berdaftar menggunakan Mobile eCOSS.
Sistem itu antara langkah kerajaan memperketat pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi bagi mengurangkan risiko ketirisan, termasuk memastikan bekalan yang diperuntukkan untuk rakyat tidak disalahgunakan.
"Bagi saya, eCOSS bukan sekadar mendigitalkan sistem malah membantu kita menutup ruang ketirisan dan memastikan ‘cecair emas’ bersubsidi ini sampai kepada rakyat Malaysia," katanya.




Comments