top of page

DUN Endau: Saiful Nizam kemuka lima fokus kembang potensi anak muda

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2 hours ago
  • 3 min read
 Saiful Nizam bertemu pelbagai pihak termasuk generasi muda ketika berkempen di DUN Endau
 Saiful Nizam bertemu pelbagai pihak termasuk generasi muda ketika berkempen di DUN Endau

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N32 DUN Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Saiful Nizam Samat menggariskan lima fokus utama bagi mengangkat ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kepada anak muda sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.


Beliau berkata, antara isu utama yang dikenal pasti di Endau ialah kekurangan peluang pekerjaan sehingga menyebabkan ramai anak muda terpaksa berhijrah dan bekerja di luar kawasan.


Menurutnya, pembangunan ekonomi tempatan perlu diperkukuhkan dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada Endau terutama sektor perikanan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian serta pendidikan kemahiran.


"Masalah yang saya dapat dekat sini ialah peluang pekerjaan. Ramai anak muda terpaksa bekerja di luar kerana peluang pekerjaan di kawasan ini masih kurang.


"Jadi fokus utama saya ialah bagaimana kita boleh mengembangkan ekonomi tempatan supaya peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk anak-anak muda Endau," katanya kepada Suara Keadilan.

Saiful Nizam Samat
Saiful Nizam Samat

Saiful Nizam berkata, fokus pertama yang dibawanya ialah memperkasakan Ekonomi Nelayan 2.0, iaitu usaha menaik taraf industri perikanan supaya lebih tersusun, mampan dan memberi pulangan lebih baik kepada komuniti nelayan.


Menurut beliau, hasil pertemuan bersama nelayan mendapati terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan termasuk masalah lesen, kemudahan diesel, keadaan jeti, pencahayaan serta masalah mendapan pasir di muara yang menjejaskan pergerakan bot nelayan.


"Kita mahu mampankan pengurusan industri nelayan. Apabila ekonomi nelayan ini berkembang, manfaatnya akan turut dirasai oleh sektor lain termasuk PKS kecil di kawasan sekeliling," katanya.


Fokus kedua ialah menaik taraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan supaya tidak hanya bergantung kepada aktiviti jualan asas, sebaliknya mampu berkembang dalam rantaian bekalan yang lebih tinggi.


Beliau memberi contoh pengusaha makanan tempatan seperti keropok lekor yang berpotensi dikembangkan daripada sekadar produk kecil-kecilan kepada produk yang mempunyai nilai tambah melalui peningkatan kualiti, pemasaran dan pengurusan perniagaan.


"Kita mahu bantu PKS ini naik kelas. Daripada hanya menjual produk secara kecil-kecilan, kita bantu mereka berkembang melalui pemasaran digital dan peluang pasaran yang lebih luas," katanya.


Fokus ketiga adalah memperluaskan pendidikan dan latihan kemahiran kepada anak muda melalui bidang seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan kemahiran.


Menurut Saiful Nizam, pendedahan terhadap bidang tersebut penting bagi memastikan anak muda Endau mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan pekerjaan masa kini.


Fokus keempat pula ialah membangunkan sektor pertanian moden dan agro sebagai sumber ekonomi baharu di Endau.


Beliau berkata, Endau mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian dan sektor tersebut mampu menjadi antara pemacu ekonomi yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


"Pertanian di Endau mempunyai potensi besar. Kita mahu bantu masyarakat terlibat dengan pertanian moden dan agro supaya sektor ini mampu menjadi sumber pendapatan yang lebih baik," katanya.


Sementara itu, fokus kelima ialah memperluaskan akses pendidikan melalui program komuniti yang membantu masyarakat mengetahui peluang bantuan serta program pendidikan yang disediakan kerajaan.


Menurut beliau, terdapat golongan yang berminat melanjutkan pelajaran tetapi kurang mendapat pendedahan mengenai bantuan, biasiswa atau peluang pendidikan yang tersedia.


"Kita akan cuba wujudkan program komuniti untuk mendedahkan masyarakat tentang peluang pendidikan dan bantuan yang ada, termasuk membantu mereka mendapatkan dana pendidikan," katanya.


Saiful Nizam berkata, lima fokus utama tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat Endau dan Mersing bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat memberi kesan langsung kepada rakyat.


"Ini adalah lima fokus utama saya untuk rakyat Endau dan Mersing, iaitu memperkukuhkan ekonomi sedia ada, membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta memastikan generasi muda mempunyai masa depan yang lebih baik di kawasan sendiri," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page