'Dulu tong biru sekarang tong coklat, KEADILAN akan selesai masalah bekalan air'



Masalah bekalan air bersih di Sarawak, terutama Daerah Baram tidak berjaya diselesaikan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Calon DUN Marudi, Elias Lipi Anak Mat berkata, saban tahun setiap kali musim kemarau Kerajaan Negeri dilihat 'berbudi' apabila menghantar air mineral kepada penduduk kampung. Tiba musim pilihan raya, katanya, tong air akan diberikan untuk menampung air hujan.


Tegas Elias, tanpa menukar kerajaan maka pengundi akan terus menghadapi situasi tersebut mungkin untuk puluhan tahun lagi.


"Sekama 58 tahun kita tak dapat keselesaan apa apa, mengapa kita tidak boleh ganti dengan kerajaan yang baru?


"Masalah bekalan air bersih tidak pernah selesai. Musim kemarau kerajaan hantar 2 - 3 kotak mineral water untuk satu keluarga. Itu penyelesaian jangka pendek.


"Dekat pilihan raya kearajaan hantar tong biru, sekarang tong coklat. Bukan hantar air, dia hantar tong. Kalau hujan tak ada maka tiada air dalam tong itu. Kita mahu penyelesaian jangka panjang dan berkekalan.


"Kami dari KEADILAN menjurus ke arah itu (menyediakan bekalan air bersih)," katanya dalam sidang media calon calon KEADILAN dalam Daerah Baram secara atas talian, pagi tadi.


Selain itu, Elias juga menyentuh mengenai tanah adat yang memang sangat 'liat' untuk diselesaikan oleh kerajaan BN dan kini GPS.


Menurut beliau, sering kali penduduk yang mendiami tanah adat (NCR) dihalau oleh syarikat peladangan yang memperolehi pajakan dari Kerajaan Negeri.


Apabila kes dibawa ke mahkamah, maka penduduk kalah kerana undang undang yang tidak memihak.


Justeru katanya, PRN kali ini adalah peluang untuk pengundi menukar Kerajaan Negeri dan undang undang tanah boleh dipinda untuk mengembalikan hak kepada rakyat.


"Sejak awal sampai sekarang tak selesai masalah rakyat dengan syarikat yang membuat ladang.


"Kami dalam KEADILAN sering membuat taklimat, beri bantuan kepada rakyat yang menghadapi masalah tanah adat ini. Kita sering turun padang memberi penjelasan di rumah panjang, di mana mana kawasan di Baram yang mempunyai masalah tanah adat


"Oleh kerana undang undang tanah negeri Sarawak yang tidak memihak kepada rakyat dan tidak memihak kepada pemilik NCR di luar bandar maka masalah antara penduduk dan syarikat yang beli PL tak pernah selesai.


"Masuk keluar mahkamah, penduduk sering kalah kerana undang undang tanah adat tidak memihak rakyat biasa


"Oleh itu, saya menyeru rakyat di Baram berilah peluang kepada KEADILAN supaya undang undang tanah yang berat sebelah boleh diubah. Melalui PRN kita boleh ubah kerajaan dan ubah undang undang tanah adat," katanya lagi


0 comments