Dua wakil komuniti parlimen Kuantan sertai bengkel penjagaan warga emas
- Redzuan Shamsudin

- 1 minute ago
- 2 min read

Dua wakil komuniti dari Parlimen Kuantan terpilih menyertai Bengkel Pemerkasaan Program Penjagaan Warga Emas Berasaskan Komuniti anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Bagi Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) dengan kerjasama Yayasan Hasanah.
Bengkel selama dua hari yang berlangsung di Ruang Belia APPGM-SDG Ipoh, Perak itu menghimpunkan 25 komuniti terpilih mewakili Parlimen yang dipilih APPGM-SDG di seluruh negara bagi melaksanakan program penjagaan warga emas dalam komuniti.
Mewakili Parlimen Kuantan ialah Sridayu Samsuri daripada Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Fakhrul Anuar Zulkawi daripada Pertubuhan Ekonomi Madani Negeri Pahang (PEMP).
Sepanjang bengkel, peserta terlibat dalam sesi perbincangan serta perkongsian berkaitan cabaran dan keperluan warga emas di peringkat komuniti, termasuk bentuk penjagaan dan sokongan yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan golongan berkenaan.
Menurut satu kenyataan, berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui World Assembly on Ageing di Vienna, Austria pada 1982 serta garis panduan Dasar Warga Emas Negara, warga emas merujuk kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas.

Malaysia dijangka menjadi negara tua apabila peratusan warga emas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk menjelang 2030.
"Justeru program berasaskan komuniti seperti ini dilihat penting bagi mempersiapkan masyarakat menghadapi cabaran demografi tersebut," kata kenyataan tersebut.
Bengkel berkenaan turut disertai taklimat khas mengenai Geran Mikro Yayasan Hasanah yang boleh dimanfaatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan inisiatif penjagaan warga emas dalam komuniti.
Yayasan Hasanah merupakan yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad yang ditubuhkan pada 2015 dan memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan kelestarian negara menerusi pembangunan komuniti, sosial serta isu alam sekitar.
Menurut kenyataan itu lagi, penglibatan wakil komuniti Kuantan dalam bengkel berkenaan diharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat, khususnya dalam memperkukuh sistem penjagaan warga emas di Bandaraya Kuantan.
"Dengan penglibatan ini, diharapkan komuniti di Parlimen Kuantan dapat menerima impak positif dan seterusnya memperkukuh kelestarian sistem penjagaan warga emas di Bandaraya Kuantan," kata kenyataan itu .




Comments