Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah berjaya mendapat pendaftaran melebihi 1 juta warganegara dalam tempoh dua minggu dilancarkan.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, perkembangan itu amat memberansangkan kerana pendaftaran juga melibatkan golongan remaja.
"Sejumlah 1.54 juta rakyat Malaysia termasuk anak-anak bawah 18 tahun telah mendaftar di dalam PADU selepas 2 minggu dilancarkan.
"Saya akan turun padang mulai minggu depan untuk menggalakkan lebih ramai mendaftar PADU, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
"Saya faham masih ramai yang mahu menunggu bagaimana PADU boleh membantu kehidupan seharian mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tegas Rafizi, PADU diwujudkan untuk memudahkan kerajaan menyalurkan subsidi bersasar setelah sistem subsidi pukal akan diganti dengan cara yang lebih berkesan mengagihkan bantuan pada tahun ini.
"Selain dari tujuan utama untuk menentukan kelayakan penerimaan subsidi bersasar secara adil, PADU sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih besar," katanya.
Dengan data maklumat PADU, kata Rafizi, kerajaan akan bertindak lebih efisien pada waktu akan datang.
"Satu dari peranan besar PADU ialah sebagai pangkalan data tulang belakang kepada pelaksanaan govtech.
"Govtech akan mengubah pengalaman rakyat berurusan dengan kerajaan melalui pendigitalan, lebih cekap, lebih mudah, lebih canggih.
"Jadi, kita perlu menjayakan PADU. Sama-sama daftar secepat mungkin, jangan tunggu sampai 31 Mac 2024," katanya lagi.
Comments