Dr MAZA puji prestasi Dr Zulkifli urus hal ehwal agama


Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyuarakan penghargaan tinggi terhadap prestasi dan pendekatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan dalam mengurus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata, Dr Zulkifli telah menunjukkan kemampuan yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Agama.
"YB Menteri Agama telah menunjukkan keupayaan beliau yang baik. Jika Menteri Agama di tahap seperti beliau sejak awal, mungkin pengurusan agama di negara ini akan lebih berkualiti," katanya.
Pandangan positif tersebut mencuri tumpuan ramai, khususnya selepas Dr Zulkifli mengetuai perbahasan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat.
Berkaitan perbahasan tersebut, Dr Zulkifli mengingatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan beradab apabila menggunakan ayat al-Quran dalam wacana politik , khususnya apabila nas agama dijadikan hujah dalam isu semasa.
Peringatan Dr Zulkifli bahawa nas agama mestilah difahami mengikut konteks dan disiplin ilmu tafsir yang betul, bukannya disalah guna untuk kepentingan tertentu mencerminkan keutamaan beliau terhadap ketepatan ilmu, kejelasan konteks, dan adab apabila membawa isu-isu agama ke ruang awam mahupun di Parlimen.




Comments