Diplomasi, dialog penting redakan ketegangan serantau – Saifuddin
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 1 min read

Malaysia menegaskan kepentingan diplomasi dan dialog sebagai pendekatan utama dalam meredakan ketegangan serta menyelesaikan konflik secara aman, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Field Marshal Syed Asim Munir, Chief of Army Staff merangkap Chief of Defence Forces Pakistan, di General Headquarters (GHQ), Rawalpindi, sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Pakistan.
"Umum mengetahui bahawa Pakistan memainkan peranan penting dalam memudah cara rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dalam menyelesaikan krisis terkait Selat Hormuz.
"Justeru, saya amat menghargai peluang mengadakan pertemuan dengan Field Marshal Syed Asim Munir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, termasuk pendekatan diplomasi serta usaha membina keamanan dalam mendepani konflik dan ketegangan geopolitik.
Katanya, Field Marshal Syed Asim Munir turut berkongsi pengalaman Pakistan dalam memudah cara rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.
"Saya pula berkongsi pengalaman Malaysia memudah cara rundingan antara Thailand dan Kemboja yang akhirnya membawa kepada persetujuan gencatan senjata," katanya.
Saifuddin berkata pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa meskipun berdepan cabaran berbeza, diplomasi, dialog dan pembinaan keyakinan kekal menjadi asas paling berkesan dalam meredakan ketegangan serta membuka jalan kepada penyelesaian secara aman.
"Malaysia akan terus mendukung pendekatan diplomasi dan penyelesaian konflik melalui rundingan, selaras dengan komitmen negara untuk terus menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau serta antarabangsa," katanya.




Comments