Dewan Negara lulus pindaan Akta MCMC
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Negara.
RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lepas itu mengandungi 17 fasal yang antara lain meminda Seksyen 16 Akta 589 bagi memperjelas fungsi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)dalam membangun serta mengawal selia piawaian infrastruktur dan platform digital.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, RUU itu turut bertujuan meningkatkan peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi MCMC, selain memperkasa fungsi kawal selia industri komunikasi negara.
Pindaan RUU itu jelasnya melarang ahli politik dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya berkenaan.
"Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh. Pindaan yang dibawa ini adalah bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu ketika penggulungan perbahasan bagi RUU tersebut Nie Ching memaklumkan, dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, MCMC merekodkan penurunan lebih 222,000 kandungan berkaitan perjudian dalam talian.
Kejayaan itu jelasnya hasil peningkatan penguatkuasaan digital yang lebih agresif.
"Setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 222,257 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan.
"Tindakan penurunan itu dibuat atas permintaan MCMC dan juga oleh penyedia perkhidmatan. Dalam tempoh 2022 hingga 31 Julai tahun ini juga, sebanyak 6,982 laman sesawang perjudian telah disekat," katanya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, kegiatan perjudian secara amnya terletak di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MCMC berperanan memberikan bantuan teknikal, analisis forensik digital serta menyekat akses berdasarkan permintaan rasmi agensi penguat kuasa.




Comments