top of page

Dasar pendidikan cacamarba, 800 ribu tidak bersedia jalani PdPR - Anwar



Pelaksanaan dasar pendidikan negara kelihatan cacamarba terutama apabila berhadapan pandemik Covid 19, penutupan sekolah dan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tajuk pendidikan telah mengundang pelbagai pandangan kritis di seluruh negara termasuk dari persatuan guru, PIBG sehingga kepada Ahli-ahli Parlimen PH dan NGO sejak beberapa minggu kebelakangan ini.


Katanya, banyak isu dibincangkan tetapi isu pokok adalah suasana haru biru atau kelam kabut, keputusan yang dibuat tidak mengambil kira suara akar umbi serta menyusahkan kalangan ibu bapa atau sekolah-sekolah.


"Umpamanya program PdPR. Dr Anwar Razak dari fakulti UKM telah memulakan satu tinjauan yang sangat menarik. Survey itu beri gambaran bagaimana kajian dari 800,000 pelajar dan ibu bapa menunjukkan, bahawa tidak ada kesediaan sama sekali dari kalangan pelajar kerana ketiadaan kemudahan, sama ada kesambungan atau tablet atau laptop.


"Maknyanya dibuat perancangan (oleh kementerian) itu di atas angin tanpa berjejak di muka bumi. Beberapa angka unjuran yang dibuat Kementerian Pendidikan seperti juga unjuran dibuat Kementerian Kewangan mengenai pertumbuhan ekonomi negara, lari dari sasaran," katanya dalam sesi siaran langsung Facebook bertajuk "Bicara Pendidikan: Keutamaan Yang Diabaikan", pagi tadi.


Menurut Presiden KEADILAN itu lagi, kecamukan sistem pendidikan negara pasti akan menyebabkan generasi era Covid 19 akan kerugian kerana kualiti pendidikan yang mereka terima tidak sebagaimana yang diperolehi murid-murid sebelum atau selepas pandemik berkenaan.


"Kalau begitu keadaannya kita hadapi suatu keadaan yang sangat kecamuk. Apa maknanya? Maknanya anak-anak kita, generasi ini akan kerugian. Satu generasi terkesan. Kesenjangan kaya miskin, di mana orang bandar yang berada dapat menjamin satu kemudahan yang lebih selesa, ketimbang nasib anak-anak di desa, miskin bandar atau pendalaman Sabah dan Sarawak.


"Kita harus mengambil iktibar dari kesalahan yang dilakukan serta keputusan yang tidak dirancang dengan teliti. Saya dapat maklumat RM70 juta diberikan kepada Media Prima untuk memulakan program ini (pendidikan). Saya tidak faham apa keperluan (program) yang boleh menumpahkan begitu banyak dana. Tidak kepada kurikulum, isi pengajian tetapi kepada insfrastruktur yang boleh dimanfaatkan dengan kemudahan sedia ada," katanya lagi.


Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyarankan agar diwujudkan satu majlis penyelaras pendidikan bagi memudahkan proses membuat keputusan dan menghindari keputusan-keputusan separuh matang atau membazir pada masa hadapan.


Katanya, komunikasi antara kementerian, jabatan, agensi, PIBG dan orang awam sangat penting mendepani cabaran pendidikan era Covid dan pasca Covid.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page