top of page

Dapat perkenan Agong mansuh Ordinan Darurat: 'Kalau belum, kata belum' - Anwar


Sidang Dewan Rakyat sesi pagi hari ini digamatkan dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam, bahawa Ordinan Darurat telah pun ditamatkan pada 21 Julai lalu.


Ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak Takiyuddin untuk menjawab persoalan pokok sama ada pemansuhan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau tidak sebelum diumumkan di Parlimen.


Malangnya, Takiyuddin menegaskan beliau akan menjawab pada hari Isnin di penghujung persidangan Parlimen 5 hari.


Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jawapan perlu dikemukakan segera untuk tidak menambah kekeliruan rakyat. Sekiranya belum mendapat perkenan Agong, maka ordinan tersebut belum dimansuhkan.


"Soalannya melibatkan Parlimen, kuasa Agong. Soalannya spesifik, kalau belum, kata belumlah.


"Umumnya Ahli Yang Berhormat sebelah sini dan sana tahu dengan perbahasan 2 hari ini memang Tuanku Agong belum perkenan. Jadi mengapa PM dan Menteri tak boleh jawab proses atau 'dalam kerja-kerja sedang dijalankan' untuk dipersembahkan. Ini memudahkan perbincangan kita. Ini memudahkan urusan Parlimen.


"Jadi jangan buat helah umpamanya tunggu hari Isnin. Kita bincang yang terkait dengan ordinan. Kita bincang hari ini, semalam terkait dengan proklamasi dan ordinan. Menteri kata dah batal. Jadi kita nak tahu.


"Kalau belum beritahu sahajalah saya tersilap, kabinet memutuskan baru nak dipersembahkan kepada Tuanku Agong dan beri ruang kepada Tuanku Agong menimbang dan memperkenan. Bukankah mudah begitu?


"Ini nak dolak dalik, ronggeng ni apa?" bidas Anwar.


Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi amaran bahawa rakyat tidak akan percaya lagi kepada pentadbiran Perdana Menteri Mahiaddin Yassin jika hal semudah perkenan Agong pun tidak mampu dijawab.


"Ini yang saya minta. Kalau tidak, maka tidak ada keyakinan dalam pemimpinan kerajaan ini untuk bercakap apa-apa. Dia cakap apa pun orang tidak percaya. Perkara spesifik sebegini tak boleh jawab.


"Kalau Agong benar-benar perkenan, saya percaya semalam lagi dia (Takiyuddin) dah jawab. Ini dia surat. Tapi tak ada.... jawablah tak ada," katanya disambut sorakan gemuruh 'setuju' Ahli-ahli Parlimen.


Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil membangkitkan isu sama berhubung kesahihan pemansuhan Ordinan Darurat.


Beliau berkata, lebih 2,000 kompaun dikeluarkan sejak 21 Julai bagi kesalahan di bawah ordinan berkenaan. Adakah rakyat perlu membayarnya, manakala bagi pihak pendakwa pula adakah mereka perlu teruskan dengan undang-undang sedia ada atau pun menghentikan kes.


"Mengikut laporan media setakat 21 ke 25 Julai sebanyak 2,200 kompaun telah dikeluarkan dan banyak daripada kompaun ini lebih RM1,000 (dibawah Ordinan Darurat), yang terkesan kepada yang dikompaun. Sekiranya kita tunggu pada hari Isnin apakah yang akan berlaku?


"Kita tidak boleh tunggu Isnin. Kedua apabila YB Kota Bharu semalam kata kabinet telah buat keputusan batalkan ordinan, dia beri implikasi telah ada perkenan (Agong).


"Jadi saya pohon YB Kota Bharu menjelaskan adakah Tuanku telah memberi perkenan pada ketika Kota Bharu mengatakan kabinet telah membatalkan ordinan ini pada 21 Julai? Adakah ordinan ini sekiranya diwartakan boleh 'dilewat tarikh' (atau) tidak boleh," katanya.


Bagaimanapun Takiyuddin terus bertega beliau hanya akan menjawab semua pertanyaan pada hari Isnin.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page