top of page

DAP utamakan kestabilan, terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan

  • Writer: Noraini Nordin
    Noraini Nordin
  • 3 days ago
  • 2 min read
Keputusan yang dicapai dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 semalam menetapkan hala tuju DAP
Keputusan yang dicapai dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 semalam menetapkan hala tuju DAP

Ulasan Berita: Keputusan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 sudah pun diketahui di mana 1,857 perwakilan akhirnya mengundi agar parti itu terus kekal dalam kerajaan, sementara hanya 242 memilih untuk keluar kerajaan.


Keputusan itu dengan sendirinya memperlihatkan DAP tetap bersama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke akhir penggal.


Sebab itu perbezaan antara undi yang ingin kekal dengan undi yang mahu keluar begitu jauh berbeza.


Dengan Kerajaan Perpaduan sudah terbentuk lebih tiga tahun dan hanya setahun lebih sahaja lagi sebelum ketibaan Pilihan Raya Umum (PRU) 16, perwakilan DAP terbukti bertindak matang dalam membuat pilihan.


Mereka ternyata lebih memilih kestabilan berbanding terpancing dengan isu-isu yang berlaku di sekeliling yang jika terjebak dengannya, hanya akan mengundang perpecahan.


Bukan sahaja perpecahan dalam kerajaan tetapi juga perpecahan dalam mengurus kejayaan yang seterusnya.


Undian majoriti kukuh


Melalui undian dengan majoriti yang kukuh untuk DAP terus kekal berada dalam kerajaan, keputusan itu juga merupakan mandat untuk parti pelbagai kaum berkenaan terus rapat bersama-sama dengan Perdana Menteri menjayakan reformasi yang menjadi dambaan semua.


Reformasi hanya dapat dilaksana bila ada kuasa dan kuasa yang ada kestabilan.


Jika DAP keluar kerajaan, reformasi akan terhalang dengan sendirinya kerana kerajaan tiada lagi kestabilan dan kuasa seolah-olah tiada makna lagi.


Tambahan, dengan DAP turut mempunyai lima menteri dan tujuh timbalan menteri dalam kabinet, ini bermakna faktor kestabilan keberadaan parti itu dalam kerajaan adalah perkara yang tidak harus dipandang ringan.


Lebih buruk jika selepas keluar kerajaan itu akan menyebabkan hayat kerajaan berakhir dan terpaksa berdepan PRU16. Akhirnya, semua reformasi akan tergendala begitu sahaja.


Apa pun, syabas dan tahniah kepada DAP dan perwakilan yang lebih memilih kestabilan dan kelangsungan.


Masa untuk bekerja keras


Dalam tempoh berbaki kira-kira setahun lebih lagi sebelum PRU16, inilah masanya untuk DAP terus bekerja keras bersama-sama dengan kerajaan dan Perdana Menteri untuk melakukan yang terbaik, bukan sahaja berkaitan reformasi tetapi jua menyangkut semua aspek kesejahteraan rakyat.


Terjaga semua itu, terpeliharalah masa depan Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi reformasi ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page