DAP kekalkan lapan penyandang pertahan 11 kerusi DUN N Sembilan
- Helmi Mohd Foad
- 21 hours ago
- 2 min read

DAP Negeri Sembilan memilih untuk mengekalkan lapan calon penyandang bagi mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Keputusan itu dibuat selepas parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menilai faktor pengalaman, rekod khidmat wakil rakyat serta penerimaan pengundi di kawasan masing-masing selain mengambil kira tempoh persediaan pilihan raya yang singkat.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan sebahagian besar penyandang kerana mereka mempunyai rekod perkhidmatan dan hubungan yang telah dibina bersama masyarakat setempat.
Beliau berkata, lapan calon penyandang yang dikekalkan mempunyai prestasi yang diyakini mampu membantu DAP mempertahankan kesemua kerusi yang dimenangi parti sejak 2013.
"DAP melihat perlunya mengekalkan penyandang di kawasan DUN sedia ada kerana faktor usia calon yang masih muda serta faktor tempatan iaitu ada trek rekod yang baik kita kekalkan.
"Sudah tentu setiap kali pilihan raya kita ada penilaian, kita akan melihat potensi calon baharu, namun begitu oleh kerana PRN Negeri Sembilan Ke-16 di luar jangkaan maka proses peremajaan itu tidaklah sebesar yang kita rancang," katanya selepas mengumumkan barisan calon parti di Seremban hari ini.
Anthony yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, PRN kali ini merupakan pilihan raya penting yang memerlukan parti mengambil kira kestabilan dan pengalaman calon, terutama dalam menghadapi persaingan pelbagai penjuru.
Menurutnya, walaupun usaha meremajakan barisan calon sentiasa menjadi agenda parti, keadaan semasa menyebabkan DAP memilih untuk tidak mengambil risiko dengan membuat perubahan besar.
"Kita perlu mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati kerana ini adalah pilihan raya yang kritikal. Kita tidak mahu mengambil risiko yang boleh menjejaskan peluang parti," katanya.
Tiga muka baharu yang diketengahkan DAP ialah Lee Kai Yet bagi DUN Mambau, S. Mugunthan (Seremban Jaya) dan Ho Weng Wah (Temiang).
Sementara itu, lapan penyandang yang dikekalkan ialah Anthony Loke (Chennah), Desmond Sian Meow Kong (Rahang), Teo Kok Seong (Bahau), J. Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah).
DAP sebelum ini memenangi kesemua 11 kerusi DUN yang ditandingi pada PRU lalu sekali gus menjadi antara komponen utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
