DAP akan percepat agenda reformasi selepas isyarat PRN Sabah
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 1 min read

Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) malam tadi bagi membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 Nov lalu yang menyaksikan parti itu kehilangan kesemua enam kerusi dan disifatkan sebagai satu isyarat penting daripada para pengundi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook (gambar) dalam kenyataan media berkata, keputusan PRN tersebut memberi mesej yang tegas kepada parti dan Pakatan Harapan.
"Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi. Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak awatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Beliau menjelaskan bahawa para pemimpin dan anggota yang turun berkempen amat menyedari sentimen rakyat sepanjang tempoh tersebut.
"Para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen," ujarnya.
Susulan mesyuarat dan penilaian dalaman, DAP akan merangka langkah susulan untuk memperkukuh mandat reformasi.
"Kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama dengan Perdana Menteri untuk mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan yang akan datang," jelas Anthony Loke.
Dalam mesyuarat sama, DAP Sabah turut memaklumkan keputusan mereka kepada CEC bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.
"DAP Sabah membentangkan keputusan bahawa mereka tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan," katanya.
Walau bagaimanapun, tegas beliau, pemimpin parti di negeri itu akan terus komited berkhidmat kepada rakyat.
"Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat," tambahnya.









Comments