Dakwah santai di Bukit Bintang tarik pengunjung pelbagai negara – Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 47 minutes ago
- 1 min read

Pendekatan dakwah secara santai dan mesra masyarakat terus mendapat sambutan apabila warga tempatan serta pelancong menyertai program dakwah berkala di Bukit Bintang, kata Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, program santai itu kelmarin diteruskan selepas menghadiri program Malaysia Berselawat di Putrajaya, dengan kerjasama pasukan Masjid Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
"Alhamdulillah, bersama-sama pasukan Masjid Negara dan JPM (Hal Ehwal Agama) kami meneruskan sesi santai berkala bersama warga dan pengunjung Bukit Bintang.
"Kali ini kami berkolaborasi dengan Bob Sentuhan Buskers yang sememangnya terkenal dengan perjuangan mereka menerusi lagu-lagu keTuhanan dan mendidik jiwa," katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurut beliau, meskipun hujan, orang ramai tetap hadir memeriahkan suasana, selain berkesempatan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Katanya, program berkenaan turut mendapat perhatian pelancong dari beberapa negara termasuk Indonesia, Arab Saudi dan Maghribi.
"Ada rakan-rakan pelancong dari Indonesia, Arab Saudi, Maghribi dan lain-lain yang memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang aman berbilang budaya," katanya.
Dr Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Imam Masjid Negara serta seluruh pasukannya dan Bob Sentuhan Buskers.
"Terima kasih kepada Imam Masjid Negara, al-Fadhil Ustaz Dr Amru Alhaz bin Adnan dan pasukan beliau, serta Bob Sentuhan Buskers yang menghidupkan suasana malam di Kuala Lumpur.
"Luar biasa pasukan Masjid Negara. Fastabiqul khairat," katanya.




Comments