top of page

Cukai Perkhidmatan: Bil elektrik, air, penghantaran makanan kekal 6%



Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan kenaikan Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas dan gaya hidup rakyat di Malaysia.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melalui satu kenyataan berkata, kenaikan cukai berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 itu menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (B2B)


"Perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus. Ia termasuklah perkhidmatan logistik.


"Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan.


"Bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj)," katanya.


MOF menganggarkan 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang itu, dan tidak akan terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan berkenaan.


Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus.


Sebagai contoh, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat-pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.


Cukai itu yang dikenakan kepada perkhidmatan broker dan penajajaminan, namun kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan akan diperluas kepada perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan hartanah.


"Kerajaan menjangkakan perubahan itu tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan, sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi," jelas kenyataan tersebut.


Sementara itu tambah Amir Hamzah, bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.


Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkannya dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.


"Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti mana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.


"Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI)," jelasnya.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page