Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak malam tadi sekali lagi mengungkapkan perkataan cash is king.
Najib yang mengubah erti 'king' sebagai rakyat bagaimanapun mendapat kecaman para warga maya kerana kebanyakan kewangan negara terbukti pergi ke kantung Jho Low yang menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad sepanjang pentadbiran beliau.
Bagi ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap cash is king tidak selama lamanya mampu membeli sokongan rakyat.
Katanya terbukti dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu BN kalah teruk biar pun menabur wang ke seluruh negara.
"Cash is king itulah naratif yang Najib bawa sebelum PRU 14, tetapi hasilnya kita semua sedia maklum tumbang juga kerajaan BN.
"Bagi saya cash is king ini tak boleh selama lamanya digunakan perkara tersebut untuk mendapat sokongan.
"Kita tidak boleh nafikan kita ada 4 PRN, saya sebutkan 2 PRN terakhir, Melaka dan Johor. Kita tahu dan sedar Umno dan BN cuba semampu mungkin untuk membeli, menawarkan kepada pengundi pelbagai perkara sebagaimana taktik sebelum PRU 14 tetapi mereka hanya dapat undi tak lebih 40%.
"Jadi cash is king tak banyak guna buat kita. Memang dalam pandemik kita perlukan duit tetapi duit bukanlah segalanya," kata Nor Azam dalam bualbicara "Jangan Panas Bersama Sam" dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, malam tadi.
Selain itu, calon Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kangar itu juga berkata, pengalaman beliau sebagai wakil rakyat menunjukkan perkhidmatan dan kebersamaan dengan rakyat itu penting untuk mendapatkan sokongan.
Malah cara itu kini telah terbiasa dan diiktiraf di DUN Kuala Perlis, berbanding amalan sebelum ini.
"Waktu saya cuba nak takle DUN Kuala Perlis, saya cuba ubah sikap masyarakat di sini. Pada awal dulu saya dibelar YB helmet (topi keledar) sebabnya bila saya tengok kawasan, ramai penduduk yang tak ambil peduli pakai helmet. Saya cuba beri penekanan dari tak pakai helmet kepada pakai helmet.
"Jadi bualan orang ketika itu. Ada yang marah ada yang positif. Jika ada yang datang pejabat saya minta tanda tangan saya intai di tingkap pejabat, saya tengok motor mana, sebab saya nak tanya mana helmet.
"Kedua, orang gelar YB sampah, bukan maksud sampah. Sebab saya mahu tukar minda rakyat daripada suka buang sampah merata. Kita ubah perkara itu sehingga pernah saya menjalankan program pertandingan memungut sampah di kampung nelayan Seberang Aman dan kita berjaya kumpul 25 tan sampah. Program ini dihadiri oleh Tuanku Raja Perlis.
"Sejak itu perkampungan itu mula berubah berwarna warni dan kampung ini jadi tarikan pelancong di Malaysia. Kita saksikan banyak page popular media sosial berkongsi kecantikan kampung nelayan ini," katanya.
Mengenai pertanyaan Shamsul, siapakah yang lebih layak untuk memimpin Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Nor Azam berkata beliau menyokong kepimpinan Adam Adli kerana anak muda itu tiada beban kelemahan lampau berbanding calon lain.
"Adam adalah orang baru dalam parti yang saya rasa dia belum ternoda oleh kelompok. Jadi bila saya mengenali adam banyak idea dia yang membolehkan dia diangkat sebagai ketua AMK.
"Sebagai seorang aktivis yang amat dikenali sekitar Kuala lumpur, saya rasa Adam akan dapat membantu menarik sokongan ramai aktivis (kepada KEADILAN)," katanya lagi.
Comments