top of page

Calon termuda PRN N Sembilan tekad bawa suara anak muda di DUN Chembong

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jul 18
  • 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chembong, Danish Nazran Murad (gambar), bertekad membuktikan usia muda bukan penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat apabila tampil sebagai calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.


Beliau berkata, menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi apabila bertanding menentang penyandang yang disifatkannya sebagai "gergasi" dalam politik tempatan, namun keadaan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus berkempen dan menawarkan khidmat terbaik kepada penduduk Chembong.


"Saya sedar tanggungjawab sebagai seorang calon muda, malah yang paling muda dalam pilihanraya kali ini.


"Saya tahu saya akan berhadapan dengan penyandang, namun itu tidak menjadikan saya patah semangat untuk terus bekerja keras dan menawarkan khidmat kepada masyarakat di Chembong," katanya.


Danish berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, yang turut menyaksikan kehadiran kira-kira 500 penyokong Pakatan Harapan bagi memberikan sokongan kepada calon-calon gabungan itu.


Ketua Penerangan AMK itu berkata, sekiranya diberi mandat oleh pengundi, beliau mahu memanfaatkan tenaga dan semangat golongan muda untuk lebih kerap turun padang serta mendekati masyarakat.


Beliau yang baru berusia 27 tahun berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap isu di peringkat tempatan dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih berkesan.


"Saya akan cuba menawarkan khidmat yang terbaik dengan turun ke lapangan, bertemu masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah-masalah di peringkat tempatan yang masih belum selesai," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page