top of page

Calon termuda PH di Chembong optimis beri saingan sengit kepada BN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Danish (berbaju putih) berkempen di kedai makan bertanya khabar dan memperkenalkan diri kepada pengundi
Danish (berbaju putih) berkempen di kedai makan bertanya khabar dan memperkenalkan diri kepada pengundi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad, 27, mengakui beliau pada mulanya sukar mempercayai apabila diberi mandat oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Sembilan.


Menurut beliau, tanggungjawab yang diberikan untuk mencabar penyandang kerusi dari BN menjadi pemangkin untuk bekerja lebih keras sepanjang tempoh berkempen bagi meraih sokongan pengundi di DUN berkenaan.


"Pertamanya apabila dicalonkan oleh parti untuk bertanding di DUN Chembong, saya sendiri rasa macam tidak percaya kerana saya seorang yang masih muda.


"Tetapi apabila parti dah memberi mandat untuk saya bertanding, saya perlu lakukan dengan sebaiknya dan bekerja keras semasa tempoh kempen," katanya kepada Suara Keadilan.


Danish berkata, sepanjang beberapa hari berkempen, beliau telah mengadakan siri jelajah di pelbagai lokasi dalam DUN Chembong dan menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada sebahagian besar pengundi.


Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat juga segelintir pihak yang memberikan reaksi kurang positif, namun perkara itu tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya untuk terus mendekati rakyat.


"Saya mendapat maklum balas yang positif daripada pengundi yang berpotensi mengundi Pakatan Harapan.


"Seperti biasa, kalau jumpa yang beri reaksi positif, akan ada juga yang beri komen negatif.


"Tetapi itu tidak boleh meluntur semangat kita untuk terus berkempen," ujar beliau.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengundi di DUN Chembong akan memberikan sokongan kepadanya sekali gus membolehkan beliau memberikan tentangan sengit kepada penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris.


"Saya ada keyakinan dan optimis pengundi DUN Chembong akan menyokong saya.


"Insya-Allah, saya juga yakin saya boleh berikan satu saingan yang sengit kepada penyandang ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris," kata Danish.


PRN-16 Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos ini.


Pada pilihan raya kali ini, Pakatan Harapan bertanding di semua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala Barisan Nasional bertanding di 25 kerusi, mencerminkan keyakinan gabungan itu untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal ketiga berturut-turut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page