Slip berlogo BN: Calon PH DUN Jeram Padang buat bantahan kepada SPR
- Helmi Mohd Foad

- Aug 2
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin (gambar) mengemukakan bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kejadian slip logo Barisan Nasional (BN) yang didakwanya dibawa masuk di Saluran 5, Sekolah Kebangsaan Rompin pada hari pengundian.
Dalam surat bantahan kepada Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nurshahira Shamsudi, Manivanan mendakwa beliau melihat beberapa pengundi membawa masuk kertas berwarna biru ke dalam bilik mengundi selain kertas berkenaan digunakan ketika proses semakan oleh petugas SPR.
Menurutnya, beliau tiba di Sekolah Kebangsaan Rompin pada pukul 2.20 petang sebelum memasuki Bilik Mengundi Saluran 5 kira-kira pukul 2.30 petang.
"Saya juga melihat kira-kira lima hingga enam orang pengundi membawa masuk kertas berwarna biru tersebut ke dalam bilik mengundi.
"Selain itu, saya melihat beberapa orang pengundi meletakkan kertas biru berkenaan di atas meja petugas SPR, dan KTM (Ketua Tempat Mengundi) sendiri mengambil serta menyerahkan semula kertas biru tersebut bersama-sama dengan kertas undi kepada pengundi," katanya dalam surat berkenaan.
Dalam surat yang dikongsi kepada media, Manivanan mendakwa selepas mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, beliau menghampiri meja petugas sebelum mendapati kertas berkenaan disimpan dalam laci di bawah meja.
"Apabila saya bertanya mengenai kertas biru yang saya lihat, KTM pada mulanya tidak menunjukkannya.
"Namun, selepas saya terus mendesak dan mengemukakan pertanyaan, KTM akhirnya mengeluarkan kertas tersebut dan menyerahkannya kepada saya," katanya.
Beliau mendakwa kertas berwarna biru itu mengandungi perkataan “Undilah Barisan Nasional” bersama logo BN yang dicetak pada kedua-dua belah kertas.
Manivanan berkata beliau turut merekodkan kejadian itu pada pukul 2.45 petang dan meminta KTM merekodkan nombor siri kertas undi terakhir yang dikeluarkan sebelum kejadian berkenaan.
Susulan itu, beliau mengemukakan bantahan terhadap proses pengundian yang berlangsung di Saluran 5.
"Saya memohon supaya pengiraan undi bagi semua undi yang dikeluarkan sehingga pukul 2.45 petang dibatalkan atau diketepikan dan/atau supaya apa-apa tindakan lanjut yang difikirkan wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang Malaysia bagi memastikan integriti serta ketelusan proses pilihan raya terpelihara," katanya.
Terdahulu Suara Keadilan melaporkan Manivanan berkongsi insiden penemuan slip berlogo BN itu ketika melawat pusat mengundi bagi DUN Jeram Padang di Sekolah Kebangsaan Rompin pagi ini.
SPR melarang sebarang barangan yang memaparkan nama calon, simbol, lambang atau logo parti politik dibawa, dipakai atau digunakan di dalam pusat mengundi atau dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, selaras dengan Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Larangan berkenaan merangkumi pakaian dan aksesori seperti baju, topi, kopiah serta pelitup muka berlogo parti, selain bahan kempen termasuk risalah, poster, bendera, lencana, payung dan beg.




Comments