top of page

Calon baharu bukan kelemahan, sebaliknya kelebihan di DUN Gambir

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Syed Ibrahim ditemui sewaktu walkabout bersama Nurul Izzah di DUN Gambir
Syed Ibrahim ditemui sewaktu walkabout bersama Nurul Izzah di DUN Gambir

Pencalonan Mohd Nor Mohd Yusof bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir meskipun muka baharu memberi kelebihan kepada pengundi kerana calon berkenaan lebih dekat dengan rakyat.


Menurut Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, ada pihak yang membandingkan Mohd Nor dengan calon lawan daripada UMNO yang pernah menjadi ADUN, namun pengalaman semata-mata bukan penentu kemampuan seseorang menjadi wakil rakyat.


"Kita sedia dengar apa-apa kekurangan calon (PH). Dia bukan ADUN sebelum ini, jadi orang anggap dia tak ada pengalaman mentadbir sebagai wakil rakyat.


"Lawan kita ini (BN) bekas ADUN. Jadi daripada segi itu mereka berpandangan kekurangan calon. Tetapi saya tidak fikir itu kekurangan," katanya.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, perkara utama seseorang wakil rakyat perlu bersedia mendengar keluhan rakyat, memahami masalah mereka serta rajin turun padang berbanding bergantung kepada pengalaman memegang jawatan.


"Untuk jadi wakil rakyat dia sedia dengar dan faham penyelesaian masalah mereka. Jadi kena rajin turun padang, rendah diri jangan sombong.


"Di sebelah sana, mereka cakap YB yang bekas dulu itu... tak mahu dengar," dakwanya.


Sehubungan itu, Syed Ibrahim berkata sikap rendah diri yang ditunjukkan Mohd Nor merupakan kekuatan utama calon berkenaan dalam mendekati pengundi di DUN Gambir.


"Walau ada pihak lihat calon kita kekurangan di situ, di situ kelebihan. Jadi kita jangan takut sangat, kita rasa seolah-olah lemah.


"Cara itu sesuai di DUN Gambir, dia rendah diri, tak sombong. Dia berani dan dia turun (padang)," katanya yang juga mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor.


Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim mengakui terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian penyokong terhadap Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam usaha mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu.


Beliau berharap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke DUN Gambir dapat meningkatkan keyakinan pengundi terhadap komitmen Kerajaan Perpaduan.


"Kami sedar ada perasaan khuatir dengan Kerajaan Perpaduan. Jadi kehadiran PMX malam ini di Gambir kita harap akan membantu supaya mereka lihat kesungguhan PM dan Pengerusi PH menjana sokongan daripada bukan Melayu terutamanya.


"Tempat lain saya tak pasti tetapi mereka ada khuatir. Saya tanya khusus, apa yang dikhuatirkan itu? Mungkin kita dah jadi kerajaan, ujian kuasa. Tetapi adakah mereka (bukan Melayu) nak bagi undi kepada lawan kita? Mereka perlu fikir balik," katanya.


Beliau turut mengingatkan pemimpin dan jentera supaya tidak bersikap selesa hanya kerana kini berada dalam kerajaan.


"Kita kena terus kata kita akan perbaiki. Jangan sombong, jangan hanya jadi kerajaan, kereta besar, kita rasa dah boleh menang. Tidak," katanya.


Syed Ibrahim berkata, DUN Gambir merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada kira-kira 57 peratus Melayu, 37 peratus Cina, satu peratus India dan lain lain, sekali gus memerlukan pendekatan yang mampu menarik sokongan semua kaum.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page