Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa agar membuka kembali Parlimen bagi membincangkan langkah lebih konkrit dan sesuai dalam menangani wabak Covid 19.
Gesaan itu dibuat oleh Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, S Gopalakrishnan.
Katanya, pelaksanaan lockdown yang berulang kali tanpa langkah tepat memutuskan rantaian Covid 19 hanya merugikan negara dan menyukarkan lagi kehidupan rakyat.
"Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan full lockdown adalah kegagalan terbesar Kerajaan PN.
"Ini menunjukan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin gagal membendung dan mengawal penyebaran jangkitan Covid walaupun telah tiga kali melaksanakan PKP dan kini, rakyat terpaksa menghadapi lockdown mulai 1 Jun. Perkara ini akan memberi kesan yang besar kepada pendapatan rakyat dan kelangsungan kehidupan.
"Dengan penguatkuasaan darurat, PKP 1.0, 2.0, 3.0 dan Total Lockdown, ia memberi kesan negatif yang amat besar kepada negara juga kepada sosio ekonomi rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ADUN Tiram itu lagi, sekiranya Muhyiddin dan pentadbirannya tidak memunyai idea bernas untuk menyelamatkan rakyat dan enggan pula berbincang di Parlimen bersama pembangkang maka sebaiknya beliau mengundur diri dan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik pemimpin lain sebagai Perdana Menteri.
"Parlimen tidak boleh bersidang walaupun tidak ada keperluan untuk mengantungnya. Sedangkan Parlimen adalah institusi yang wajar bersidang untuk membincangkan isu rakyat. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said telah memberi cadangan untuk mengadakan sesi Parlimen melaui maya tapi PM tidak mempedulikan
"Sekarang adalah waktu genting maka PM harus berani duduk dengan semua pihak termasuk pembangkang untuk berbincang bukan hanya memberi perutusan sahaja. Sebagai Ketua Kerajaan dan pemimpin, beliau harus berani menyahut cabaran. Kalau tidak, wajarlah undur dari kedudukan," katanya.
Selain itu, Gopalakrishnan juga menggariskan beberapa kelemahan serius kerajaan PN dalam menangani Covid seperti pelaksanaan proses vaksinasi yang lembab. Di mana Kerajaan telah gagal menangani sistem pendaftaran yang diuruskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Katanya, keadaan itu menyebabkan pengguna berdepan kesukaran mengakses beberapa ciri di laman sesawang CITF ketika permohonan dibuka kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Gopalakrishnan turut menggesa kerajaan memberi peruntukan dan suntikan sumber kewangan yang lebih besar kepada Kementerian Kesihatanh Malaysia (KKM) berbanding agensi-agensi lain.
Comments