BUDI95: GEM puji keprihatinan kerajaan terhadap pemandu e-hailing
- Azuan Ab Rahman

- 10 hours ago
- 2 min read

Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas keputusan mengekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter, termasuk mengekalkan had siling penggunaan petrol sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig.
Ketua Aktivis GEM, Masrizal Mahidin berkata, pihaknya lega dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyelarasan terkini subsidi bahan api susulan konflik Asia Barat.
Pengumuman itu jelasnya amat signifikan dalam memastikan kelangsungan pendapatan pemandu yang bergantung secara langsung kepada kos bahan api sebagai komponen utama operasi harian.
"GEM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan pemandu e-hailing.
"Keputusan ini amat signifikan dalam memastikan kelangsungan pendapatan pemandu yang bergantung secara langsung kepada kos bahan api sebagai komponen utama operasi harian mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri dalam perutusan khas semalam berkata, ketegangan di Asia Barat termasuk gangguan di Selat Hormuz dan negara-negara Teluk telah menjejaskan rantaian bekalan minyak dunia.
Menurut beliau, walaupun Malaysia berada dalam keadaan terkawal hasil keupayaan Petronas, negara tetap terkesan daripada kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi global.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah berhati-hati termasuk menyelaras semula subsidi RON95 menerusi BUDI95 bagi memastikan bekalan dan penggunaan lebih berhemat. Ketika kebanyakan negara jiran meningkatkan harga bahan api itu, kerajaan MADANI jelasnya tetap mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, walaupun terpaksa mengurangkan kuota bulanan kepada 200 liter berkuatkuasa 1 April.
Dalam pada itu, Masrizal berkata, pihaknya mendoakan konflik geopolitik yang sedang melanda dunia ketika ini dapat reda dengan segera, seterusnya membantu menstabilkan ekonomi global dan harga minyak.
"Dalam setiap cabaran, dasar yang prihatin adalah benteng kepada kelangsungan rakyat. Dan hari ini, pemandu e-hailing tidak dipinggirkan
"GEM percaya dengan semangat kebersamaan, ketabahan dan iltizam semua pihak, kita mampu mengharungi cabaran ini dengan lebih kukuh dan berdaya tahan," katanya dipetik.




Comments