top of page

BNM beri lima peringatan kepada TH tapi tidak diendah - Menteri Agama

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Aug 11
  • 3 min read
Dr Zulkifli menerangkan secara terperinci mengenai kewangan TH di Dewan Rakyat
Dr Zulkifli menerangkan secara terperinci mengenai kewangan TH di Dewan Rakyat

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi sekurang-kurangnya lima siri peringatan berhubung kedudukan kewangan dan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk mengenai ketidakpadanan antara aset dan liabiliti institusi itu, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.


Beliau berkata peringatan berkenaan dibuat kepada kepimpinan TH serta menteri yang bertanggungjawab ketika itu selepas BNM mula membangkitkan kebimbangan sejak 2014 mengenai amalan pembayaran agihan keuntungan yang tinggi ketika rizab TH berada pada tahap rendah.


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan rizab TH semakin terhakis sehingga menjadi negatif sekali gus mewujudkan risiko sekiranya berlaku pengeluaran wang secara besar-besaran oleh pendeposit.


"BNM telah mengeluarkan beberapa surat peringatan sebanyak lima kali, lima siri, kepada pengerusi Tabung Haji, kepada Menteri Hal Ehwal Agama pada waktu itu mengenai masalah jurang antara aset dan tanggungan Tabung Haji.


"Mereka telah diberi amaran, bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu dibetulkan segera bagi memastikan Tabung Haji tidak melanggar undang-undang," katanya.


Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan pada sidang khas Dewan Rakyat berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.


Zulkifli berkata walaupun BNM bukan badan pengawal selia TH, bank pusat itu bertanggungjawab terhadap kestabilan sistem kewangan negara dan sudah melihat risiko yang boleh timbul daripada kedudukan kewangan TH.


Menurut beliau peringatan BNM itu bukan dibuat tanpa asas kerana kegagalan menangani masalah berkenaan berpotensi memberi kesan serius terhadap kedudukan TH dan kestabilan kewangan negara.


Bagaimanapun, katanya surat peringatan berkenaan tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh kepimpinan TH ketika itu.


"Kedudukan TH ketika itu berpotensi menimbulkan risiko sistemik atau systemic risk kepada kestabilan kewangan negara. Malangnya, surat-surat tersebut tidak diendahkan oleh kepimpinan Tabung Haji pada ketika itu," katanya.


Zulkifli berkata kebimbangan berhubung kedudukan TH kemudiannya turut dibangkitkan Ketua Audit Negara menerusi penyata kewangan 2017 termasuk mengenai perubahan polisi rosot nilai sebanyak dua kali dalam tahun sama.


Menurutnya perubahan berkenaan memberi kesan kepada angka keuntungan yang dilaporkan TH bagi tahun tersebut.


Beliau berkata selepas pertukaran kerajaan pada 2018, lembaga baharu TH melantik firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menilai semula kedudukan dan prestasi kewangan institusi berkenaan berdasarkan piawaian perakaunan.


Hasil penilaian itu, katanya, menunjukkan TH berdepan keadaan genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018.


Zulkifli berkata sekiranya aset TH gagal melebihi liabilitinya pada akhir tahun berkenaan, institusi itu tidak boleh mengisytiharkan agihan keuntungan bagi 2018 dan berdepan risiko pengeluaran wang secara besar-besaran.


Katanya kerajaan ketika itu akhirnya melaksanakan pelan penstrukturan semula dengan memindahkan aset kurang berdaya saing dan bermasalah yang mempunyai nilai kira-kira RM9.7 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada nilai RM19.9 bilion bagi menutup jurang berkenaan.


Dalam pada itu, Zulkifli berkata RCI mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus TH, antaranya kuasa luas menteri yang bertanggungjawab, pelantikan ahli lembaga tanpa kriteria khusus serta pengaruh politik.


Menurutnya RCI turut membangkitkan isu pelantikan ahli politik aktif dalam barisan kepimpinan TH dan berpandangan amalan sedemikian tidak wajar bagi institusi berkenaan.


Antara dapatan lain RCI ialah pengisytiharan agihan keuntungan sebelum 2018 yang didapati tidak mencerminkan prestasi kewangan sebenar TH serta tidak selaras dengan kehendak Akta Tabung Haji yang mensyaratkan aset perlu melebihi liabiliti sebelum agihan keuntungan dibuat, ujarnya.


RCI juga membangkitkan isu kaedah pelaporan dan penilaian aset yang digunakan bagi menunjukkan nilai aset lebih tinggi daripada liabiliti.


Zulkifli berkata sekiranya piawaian pelaporan kewangan berkenaan digunakan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian kira-kira RM1.4 bilion bagi 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.


Sementara itu, beliau berkata TH kini sudah melaksanakan lebih 75 peratus syor RCI bagi memperkukuh tadbir urus dan kesejahteraan institusi berkenaan, manakala baki syor yang relevan akan terus dilaksanakan.


Laporan RCI itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022 sebelum Jemaah Menteri pada 29 Julai lalu bersetuju mendedahkannya kepada umum serta membahaskannya dalam sidang khas Parlimen.


Kerajaan turut bersetuju supaya siasatan penuh dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berdasarkan dapatan RCI.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page