Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terutama bersama Pakatan Harapan (PH) pada waktu ini dianggap strategi bersesuaian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Menurut Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, parti itu pernah mengusahakan strategi bertanding tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016 lalu kemudian digunakan dalam pilihanraya berikutnya.
Namun katanya, biar pun BN menang kedua dua PRK tetapi strategi yang sama tidak menjadi pada PRU 2018.
"Kita pernah pergi tiga penjuru. Saya ambil contoh 'kesilapan' yang dibuat BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bila berlaku pertembungan tiga penjuru, ia menguntungkan kita.
"Formula Kuala Kangsar dan Sungai Besar itu kita guna pakai untuk PRU ke 14. Sebenarnya kita berjaya (bersama) Pas dalam PRU itu, cuma kita bagi kat dia (Pas) untuk buat kerja satu Malaysia tetapi dia buat kerja untuk beberapa negeri.
"Mereka menang di satu dua negeri yang dibuat kerja (dalam PRU 14)," katanya dalam Forum Kemerdekaan: "Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan Negara" yang dianjurkan oleh AMANAH Wilayah Persekutuan di Adamsom Hotel, Kuala Lumpur semalam.
Oleh itu, katanya, sebarang saranan pemimpin UMNO untuk bertanding sendirian dalam PRU akan datang merupakan idea yang tidak popular kerana bukti kekalahan pada PRU 14.
"Untuk pilihanraya akan datang kita dah buat pekiraan itu. Untuk waktu ini saya boleh katakan kita tak mampu berpecah (dengan PH)
"Kalau kita mengadakan pertembungan 3 penjuru maka yang akan untung PN," katanya.
Tegas Lokman, ahli UMNO seharusnya sedar biar pun parti itu tidak bersama DAP dalam pilihanraya lalu namun undi bukan Melayu adalah penting.
Katanya, mungkin ahli UMNO berfikiran selepas parti itu menyingkirkan para pengkhianat maka sokongan lebih baik dan telah sedikitnya dibuktikan dalam beberapa PRK pada 2024, tetapi katanya, UMNO-BN tetap tidak akan mendapat kerusi secukupnya untuk membentuk kerajaan bersendirian.
Sebab itu, katanya, kebersamaan adalah lebih baik pada waktu pilihanraya.
"Kali ini kalau kita berpecah tidak bersama PH mungkin kita boleh dapat lebih (kerusi) kerana pengkhianat kita telah singkirkan sikit demi sedikit. Tetapi kalau kita menang 50 kerusi pun kita tak boleh bentuk kerajaan.
"Jadi kita perlu kukuhkan kerjasama dengan kawan kawan PH. Bila datang pilihanraya kita fikirkan apa formula terbaik," katanya.
Mengenai pembahagian kerusi, hal itu kata Lokman akan ditentukan oleh parti apabila tiba masanya.
Untuk rekod, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Salleh dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 membayangkan parti itu mungkin bergerak solo pada PRU 16, namun hal itu katanya akan dibuat menurut kehendak rakyat dan ahli parti.
Comments