top of page

BN tiada tawaran di DUN Lenggeng, hanya ratip anti-DAP

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Syahredzan mempertikaikan taktik kempen BN hanya ratip anti-DAP, tiada satu pun tawaran untuk pengundi
Syahredzan mempertikaikan taktik kempen BN hanya ratip anti-DAP, tiada satu pun tawaran untuk pengundi

DAP membidas tindakan Barisan Nasional (BN) menggunakan slogan "Undi Pakatan Harapan dapat DAP" dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan menyifatkannya sebagai cubaan menakut-nakutkan pengundi kerana gagal mengemukakan tawaran meyakinkan kepada rakyat.


Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata pendekatan itu jelas memperlihatkan BN masih bergantung kepada sentimen anti-DAP berbanding membentangkan dasar atau perancangan untuk memajukan Negeri Sembilan.


Beliau merujuk kepada satu rakaman video yang dimuat naik sendiri oleh calon BN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana kononnya "Undi Pakatan Harapan dapat DAP."


"Kita dah tengok ada satu video daripada calon BN DUN Lenggeng, Datuk Asna. Dia sendiri muat naik video itu dan cakap, 'Tak mahu undi Pakatan Harapan tau. Undi Pakatan Harapan dapat DAP'," katanya pada sidang media di Seremban hari ini.


Menurut Syahredzan, kenyataan itu menghairankan kerana DAP sebelum ini tidak pernah menjadi isu ketika Umno bekerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan mahupun ketika bersama mentadbir Negeri Sembilan.


"Saya pun pelik. Dulu masa bersama-sama dalam Kerajaan Negeri Sembilan, tidak ada pun masalah pasal DAP.


"Umno tarik sokongan kepada Menteri Besar bukan sebab DAP. Ada dia cakap sebab DAP dia tarik sokongan? Tak ada.


"Di Persekutuan pun okey sahaja DAP ini. Di Perak okey. Di Pahang pun okey," katanya.


Beliau berkata, kempen sedemikian membuktikan BN ketandusan idea dan gagal menawarkan penyelesaian terhadap isu sebenar yang dihadapi rakyat.


"Bila nak berkempen, 'Undi PH dapat DAP'. Dia bukan nak tawarkan apa yang dia boleh buat untuk Negeri Sembilan, apa hala tuju dia untuk Negeri Sembilan.


"Tapi DAP, DAP, DAP, DAP. Itu yang jadi modal mereka," katanya.


Syahredzan berkata, pengundi seharusnya menilai parti yang bertanding berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan tawaran kepada rakyat, bukannya terpengaruh dengan kempen yang memainkan sentimen politik sempit.


Kempen "Undi PH dapat DAP" sebelum ini sering digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan.


Bagaimanapun, Syahredzan berkata, tindakan BN mengulangi naratif sama menunjukkan mereka memilih memainkan sentimen politik berbanding mengemukakan agenda pembangunan negeri.


Kerusi DUN Lenggeng yang mempunyai 28,880 pengundi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Zarinna Abu Zarin (PH-AMANAH), Datuk Mohd Asna Amin (BN-UMNO) dan Zool Amali Hussin (PN-Bersatu).


DUN tersebut mempunyai lebih 75 peratus pengundi Melayu.


Pada Pilihan Raya Negeri 2023, Mohd Asna mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket BN dengan hanya majoriti 685 undi apabila menewaskan calon PN dan Bebas.


Pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos ini.


Pada PRN 2023, BN diberi laluan bertanding di DUN Lenggeng atas dasar kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.


Kerusi tersebut pertama kali dimenangi PH pada PRU 2018 menerusi calon AMANAH, Suhaimi Kasim yang meraih majoriti 986 undi menewaskan calon BN dan Pas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page