top of page

Blogger Murray Hunter mohon maaf, tarik balik artikel fitnah terhadap MCMC

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Helmi Foad


Blogger warga Australia, Murray Victor Hunter (gambar) telah mengemukakan permohonan maaf terbuka serta menarik balik beberapa artikel berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas mencapai penyelesaian bersama suruhanjaya itu.


Hunter yang menetap di Thailand mengakui bahawa penulisannya melibatkan MCMC dan individu berkaitan mengandungi maklumat tidak tepat serta mengelirukan sekali gus menimbulkan salah faham terhadap suruhanjaya berkenaan.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau menyatakan kekesalan atas kesan penulisan tersebut dan mengesahkan semua kandungan yang disenaraikan dalam perjanjian penyelesaian telah ditarik balik sepenuhnya.


"MCMC dan saya telah berbincang dan mencapai satu persefahaman melalui perjanjian penyelesaian.


"Saya mengakui bahawa komen serta artikel saya mengenai MCMC dan individu berkaitan boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan dan telah menimbulkan salah faham.


"Sehubungan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan tersebut menyebabkan sebarang kerosakan terhadap MCMC dan/atau pihak berkaitan dan dengan ini saya menarik balik sepenuhnya semua komen serta artikel berkenaan," katanya.


Artikel-artikel berkenaan diterbitkan antara April hingga November 2024 melalui platform Substack, laman Eurasia Review serta media sosial X, yang antara lain mengandungi dakwaan terhadap MCMC termasuk penyalahgunaan kuasa dan perlindungan kepentingan tertentu.


Penyelesaian tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang memutuskan Hunter bertanggungjawab atas fitnah, dengan mahkamah menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak bersifat mutlak.


Sebelum ini, laporan polis berkaitan penerbitan artikel itu telah dibuat di Malaysia dan Thailand pada April serta Jun 2024, sebelum satu tindakan saman sivil difailkan di Malaysia dan dokumen mahkamah diserahkan kepada Hunter di Thailand.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page