Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kebelakangan ini mula bertiup khabar angin berkenaan penyusunan semula Jemaah Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan, namun khabar angin itu telah diredakan melalui penafian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Khabar angin tersebut seterusnya bertiup ke peringkat Kerajaan Negeri Selangor yang mana telah dikhabarkan bahawa mungkin ada dua Exco Selangor akan digantikan. Khabar angin tersebut turut berakhir apabila Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor membuat penafian.
Persoalan berbangkit dari khabar angin berkenaan rombakan Kabinet dan Exco Negeri Selangor adalah mengapa isu tersebut mula dimainkan?
Mengikut amalan westminister, penyusunan semula kepimpinan peringkat Persekutuan atau negeri berlaku apabila terdapat pemimpin yang meletakkan jawatan atau jamaah kepimpinan memerlukan pemimpin baru yang lebih efektif. Namun jika dilihat di dalam konteks negeri Selangor di mana kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) tidak ada yang meletakkan jawatan atas apa-apa isu sama ada skandal rasuah, kematian atau terkait tanggungjawab kolektif.
Sehingga kini pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mampu membawa sebarang kes rasuah melibatkan mana-mana Exco negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Exco Kerajaan Negeri Selangor yang berumur 50 tahun ke bawah adalah dalam lingkungan 70%, hal ini menunjukkan keadaan kesihatan yang baik dalam kalangan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor untuk terus menggalas tanggungjawab.
Sehingga kini juga tiada perbalahan di dalam gabungan politik yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor, maka tiada pemimpin yang mempunyai hasrat meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan sebarang dasar Kerajaan Negeri.
Pentadbiran dalam prestasi terbaik
Keadaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan prestasi terbaik, maka tidak mungkin berlaku sebarang rombakan kepimpinan di peringkat negeri. Namun prestasi negeri Selangor yang sangat baik diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari sudah pasti menangkap perhatian kepimpinan peringkat pusat, kini Selangor adalah negeri yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang paling tinggi pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 5.4% dari tahun 2022.
Negeri Selangor juga merekodkan kejayaan baharu apabila mencipta sejarah menyumbang sebanyak 25.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2023. Kesemua kejayaan yang diterajui oleh Datuk Seri Amirudin Shari membuktikan kebolehan diri beliau untuk diangkat ke peringkat kepimpinan yang lebih tinggi. Namun sudah pasti pertimbangan tersebut perlu diperhalusi dengan sebaiknya.
Misi Rancangan Selangor Pertama (RS-1)
Datuk Seri Amirudin Shari telah mengilhamkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bakal mengambil masa sehingga tahun 2025 untuk diselesaikan, perancangan jangka sederhana itu adalah pertama seumpamanya di Malaysia. Terdapat 262 projek berimpak tinggi yang telah disenaraikan oleh RS-1, perlaksanaan kesemua projek tersebut memerlukan perhatian khusus dari seorang pemimpin yang memahami keseluruhan perancangan di dalam RS-1.
Justeru sekiranya terdapat perkiraan dari mana-mana pihak yang mendambakan khidmat Datuk Seri Amirudin Shari di peringkat yang lebih tinggi, maka sekurang-kurangnya biarlah ia dilakukan selepas RS-1 selesai dilaksanakan. Malah Datuk Seri Amirudin Shari sendiri telah menyatakan bahawa beliau selesa kekal menerajui Selangor berbanding dilantik sebagai menteri di peringkat Pusat.
Sesungguhnya khabar angin berkenaan penyusunan semula Jemaah Menteri ini bukanlah sesuatu yang membuka pekung kepimpinan kerajaan yang memerintah, ia lebih membuktikan bahawa kerajaan pada hari ini mempunyai banyak bakat kepimpinan untuk mengisi sebarang kekosongan pada bila-bila masa.
Kepimpinan Kerajaan Madani tidak perlu meminjam kepimpinan parti politik lain seperti yang berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di mana Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang terpaksa dipinjamkan kepada Bersatu sebagai calon PRK.
Kepimpinan Kerajaan Madani sentiasa mampu menghasilkan kepimpinan berpotensi untuk menerajui pentadbiran sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan. Keadaan ini menjadikan khabar angin yang dimainkan bertujuan untuk memburukkan pentadbiran Kerajaan Madani tidak memberi kesan dalam kalangan rakyat.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments