top of page

Berentap di DUN Linggi strategi tambah kerusi - Aminuddin

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 4 hours ago
  • 2 min read
DS Aminuddin sewaktu proses penamaan calon di  Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pagi tadi
DS Aminuddin sewaktu proses penamaan calon di  Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pagi tadi

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan meletakkannya di Linggi adalah sebagai usaha menambah kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri meskipun menyedari risiko bertanding di kubu Barisan Nasional (BN) itu.


Sambil menyifatkan PH mempunyai peluang sederhana merampas kerusi itu, beliau menggesa jentera PH bekerja lebih kuat untuk memenangi DUN Linggi.


Sebelum ini Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menguasai DUN Sikamat sejak 2008 yang dianggap sebagai kerusi selamat.

Beliau berkata, keputusan berpindah dari DUN Sikamat yang disandang hampir dua dekad bukan kerana melarikan diri sebaliknya sebahagian strategi Pakatan Harapan (PH).


"Saya bukan lari tetapi meninggalkan DUN Sikamat kerana bagi saya Pakatan Harapan perlukan kerusi baharu yang perlu dimenangi bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil.


"Saya juga mahu berkhidmat kepada masyarakat di DUN Linggi. Sebelum ini saya Ahli Parlimen Port Dickson dan saya yakin dengan bertanding di Linggi, saya dapat memperkukuh usaha memastikan pembangunan serta kebajikan masyarakat di sini dapat dijaga dengan baik," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson hari ini.


Tambah beliau, sebagai pemimpin parti, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan bukannya sesuatu yang diputuskan secara mudah.


"Yang penting sekarang ialah meyakinkan pengundi bahawa saya menawarkan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat Linggi," katanya.


Beliau turut menyifatkan slogan "Kekal Harapan" sebagai simbol komitmen PH untuk mengekalkan sebuah kerajaan negeri yang stabil demi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.


"...ada sebuah kerajaan stabil, tidak boleh digoncang pada bila-bila masa, itu penting [kerana] ada banyak perkara kita sedia maklum dari segi pembangunan maklum daripada segi pembangunan negeri yang boleh kita banggakan.


"Di samping itu, pembangunan modal insan...yang penting sekali adalah masyarakat majmuk bersatu padu itu antara yang paling kita utamakan, Negeri Sembilan ini dalam keadaan yang amat baik," ujarnya.


Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri menerima saingan penyandang kerusi DUN Linggi dari BN, Datuk Mohd Faizal Ramli, serta calon Bersatu Datuk Zamri Md Said.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daerah Port Dickson, Nurhazelin Makli pagi tadi mengumumkan pengesahan pencalonan ketiga-tiga calon itu di luar Pusat Penamaan Calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson sejurus selesai proses penamaan calon.


PH bertanding kesemua 36 kerusi DUN dalam PRN ini sekali gus melambangkan komitmen untuk muncul sebagai kerajaan negeri yang kukuh melalui mandat rakyat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page