Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya mengkaji semula tindakan terhadap dua pengamal media yang dilihat sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini.
Ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan portal berita Malaysiakini untuk membatalkan prosiding mengenai komen pembaca yang menghina mahkamah.
Malah, Anwar turut meluahkan rasa bimbang terhadap tindakan penguat kuasa menyasarkan beberapa pengamal media seperti Ketua Pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn dan wartawan South China Morning Post (SCMP), Tashny Sukumaran.
"Keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada kebebasan media di negara ini, termasuk kebebasan bersuara dalam talian.
"Peranan media dalam sistem demokrasi ketika ini sangat penting. Kerajaan harus memperlihatkan etika dan tatacara terbaik, bukan mengundur ke belakang.
"Media berfungsi sebagai ejen penting dalam menyebarkan maklumat. Justeru, saya melihat apa sahaja bentuk hukuman kepada mereka sebagai bertentangan dengan semangat demokrasi," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Anwar mengakui kerajaan bertanggungjawab untuk menangani sebarang penyebaran berita palsu, namun ia tidaklah sehingga menjadikan media sebagai kambing hitam.
"Kita harus membendung penularan berita palsu serta penghinaan terhadap mahkamah tetapi kita juga harus akui dan mengambil kira kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan.
"Adalah salah dan keterlaluan untuk memangsakan media dan saya menggesa Peguam Negara untuk mengkaji semula tindakan tersebut kerana ia akan memberi kesan, imej dan reputasi Malaysia di mata dunia.
"Kita tidak harus mencontohi rejim sebelum ini yang mengenakan sekatan kepada pihak media dalam menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.
Comments