Belanjawan Selangor 2027 kukuh sistem sokongan pendidikan, STEM
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar menerusi Belanjawan Selangor 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, antara pendekatan yang sedang diperhalusi pihaknya termasuk usaha mengukuhkan sistem sokongan bagi membantu pelajar mencatat keputusan lebih baik dalam peperiksaan.
"Selain itu, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Ada beberapa pendekatan yang akan kita laksanakan untuk mendekatkan pelajar dengan masyarakat supaya mereka turut dapat berkhidmat dan menyumbang kepada komuniti," katanya dipetik laporan media.
Amirudin sebelumnya hadir ke Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Gombak pada Jumaat.
Belanjawan Selangor 2026 yang lalu memperuntukkan RM136.2 juta bagi memperkasa ekosistem pendidikan, termasuk RM2 juta untuk pembangunan mahasiswa menerusi penganjuran konvensyen, program mahasiswa dan Jerayawara Siswa Kita Selangor.
Peruntukan itu turut meliputi pelbagai inisiatif pendidikan tinggi serta Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), antaranya geran penyelidikan, baucar buku dan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU).
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan pendidikan separa percuma kepada anak Selangor yang mengikuti pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) menerusi pembiayaan yuran asas.
Sementara itu Amirudin menegaskan, Selangor mempunyai kira-kira sejuta pelajar yang berpotensi memberi impak besar terhadap pembangunan negeri.
"Jika sejuta pelajar ini mampu mencatat keputusan cemerlang dan pada masa sama memberi impak baik kepada masyarakat, ia akan menghasilkan kesan yang sangat positif kepada Selangor," tambahnya.




Comments