Belanjawan Selangor 2027: Exco mohon tambah peruntukan Skim Ceria


Kerajaan Negeri Selangor diharap terus memberi tumpuan kepada penyelenggaraan infrastruktur serta fasiliti di pangsapuri kos rendah menerusi Belanjawan Negeri yang bakal dibentangkan November ini.
Exco Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah (gambar) berkata, peruntukan tambahan diperlukan bagi membaiki serta menaik taraf kemudahan asas di kawasan perumahan strata, khususnya pangsapuri yang berusia melebihi 20 tahun.
"Kita harap dalam Belanjawan 2027 yang dibentang November nanti, kita harap sangat Skim Ceria dapat peruntukan dari RM5 juta kepada RM10 juta supaya dapat bantu semua.
"Dalam masa sama, kita akan terima sokongan peruntukan MARRIS, ICU dan Projek Selangor Penyayang untuk naik taraf keperluan penduduk," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu ketika merasmikan Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sementara itu menurut Borhan, sebanyak 389 projek Skim Ceria dilaksanakan di seluruh 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor sejak 2011 hingga 2024 membabitkan jumlah peruntukan RM148.2 juta.
Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk supaya turut memainkan peranan menjaga kemudahan yang telah dibaiki bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh panjang.
"Kerajaan boleh bantu naik taraf kemudahan. Tetapi selepas kita baiki, kitalah yang perlu menjaganya bersama-sama.
"Sebab itu saya selalu sebut, kawasan bersama adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.




Comments