Belanjawan 2027 peruntuk RM510 bilion, defisit disasar turun 3.3 peratus


Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan MADANI 2027 berjumlah RM510 bilion meningkat RM40 bilion berbanding RM470 bilion tahun ini dengan defisit fiskal disasarkan menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding unjuran 3.6 peratus pada 2026.
Bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', belanjawan kelima Kerajaan MADANI itu meneruskan dasar fiskal mengembang dengan menggembleng kekuatan kerajaan, pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus Persekutuan, RM83 bilion untuk belanja pembangunan Persekutuan, RM25 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Ketika menghamparkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan belanjawan negara bukan sekadar dokumen kewangan sebaliknya mencerminkan tanggungjawab moral kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.
"Belanjawan MADANI 2027 sebagai ikhtiar sebuah generasi untuk memperkukuh tatanan dan memenuhi janji dan Waad Nasional kepada masa hadapan," katanya.
Hasil meningkat
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mengunjurkan hasil Persekutuan meningkat kepada RM380.8 bilion pada 2027 berbanding RM363.6 bilion tahun ini sekali gus menyediakan ruang fiskal untuk membiayai keutamaan pembangunan negara.
Walaupun krisis Asia Barat meningkatkan subsidi bahan api sehingga RM40 bilion, kerajaan berhasrat meneruskan konsolidasi fiskal dengan mengurangkan defisit kepada 3.3 peratus pada 2027 sebelum mencapai sasaran tiga peratus menjelang 2028, ujar beliau.
Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK juga dijangka terus menurun daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus tahun ini dan 63.7 peratus pada 2027.
Belanjawan MADANI 2027 digerakkan melalui tujuh lunas utama iaitu menangani kos sara hidup rakyat; mengutamakan semua negeri dan kesamarataan pembangunan; membela nasib semua rakyat; mengangkat mutu perkhidmatan rakyat; menjamin bekalan dan kesiapsiagaan negara; memecah siling keupayaan ekonomi serta memelihara citra nusa.
Di bawah lunas pertama, kerajaan meneruskan usaha menangani tekanan kos sara hidup, termasuk meningkatkan perlindungan bil elektrik daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam sebulan yang memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna domestik selain menaikkan kelayakan subsidi petrol BUDI95 kepada 300 liter sebulan.
Pembangunan seimbang
Bagi memastikan pembangunan lebih seimbang, kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menangani risiko banjir kilat di Lembah Klang, meneruskan projek berkaitan bekalan air bersih di Kelantan serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri melalui pelaburan strategik, infrastruktur dan penciptaan peluang pekerjaan.
Sabah dan Sarawak turut menerima peruntukan Persekutuan tertinggi setakat ini masing-masing RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion pada 2027 berbanding RM17.6 bilion dan RM15.1 bilion tahun ini, kata Anwar.
Kerajaan juga akan menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak sekali gus membuka peluang pendidikan tinggi kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri itu setiap tahun.
Dalam usaha membela nasib rakyat, kerajaan memperkukuh agenda ekonomi Bumiputera melalui penyediaan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu Yayasan Pelaburan Bumiputra.
PETRONAS turut memulakan pembangunan 10 ekar tanah rizab Melayu bagi menyediakan perumahan mampu milik, katanya.
Lunas keempat memberi tumpuan kepada mutu perkhidmatan awam khususnya sektor kesihatan. Peruntukan Kementerian Kesihatan ditingkatkan kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion tahun ini, manakala lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027.
Insentif pos basik untuk 47,000 anggota paramedik dan jururawat juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan sementara insentif perkhidmatan kesihatan udara ditingkatkan daripada RM30 kepada RM100.
TNB tingkat kapasiti tenaga
Bagi menjamin bekalan tenaga negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional manakala kerajaan memperluas galakan cukai bagi teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik.
Dalam memperkukuh daya saing ekonomi, pertumbuhan KDNK diunjurkan antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2026 dan 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027.
Kerajaan turut menurunkan kadar cukai pendapatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebanyak satu mata peratusan bagi membantu mengurangkan tekanan kos operasi engan kadar bagi RM150,000 pertama pendapatan bercukai diturunkan kepada 14 peratus, manakala banjaran RM150,000 hingga RM600,000 diturunkan kepada 16 peratus.
Lunas ketujuh pula menekankan pemeliharaan khazanah alam, budaya, bahasa dan seni kreatif termasuk meningkatkan Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM270 juta bagi menyokong usaha negeri memulihara alam sekitar serta menggalakkan ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti.
Anwar mengingatkan kejayaan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman sebaliknya melalui kesannya terhadap kehidupan rakyat dan masa depan generasi akan datang.
"...ukuran Belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman.
"Ukurannya malah jauh lebih asas, yakni adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan
bermaruah dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi," ujarnya.



Comments