Belanjawan 2027 dirangka rujuk suara rakyat, fokus 10 bidang utama
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 2 min read

Belanjawan 2027 akan dirangka dengan mengambil kira suara dan harapan rakyat dengan memberi tumpuan kepada 10 bidang utama termasuk menangani tekanan kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial serta memperkasa pendidikan dan kesihatan.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata proses penyediaan Belanjawan 2027 turut melibatkan pandangan komuniti perniagaan, pemegang taruh dan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan belanjawan itu menyeluruh serta memenuhi keperluan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2027 mesti menyambut suara rakyat serta memenuhi harapan mereka menerusi usaha merancakkan pembangunan negara dan meningkatkan kesejahteraan hidup.
"Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup dek konflik di Asia Barat. Kerajaan MADANI akan utamakan harapan rakyat serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya yang dipengerusikannya hari ini sebagai mukadimah kepada penyediaan Belanjawan MADANI Kelima yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.
Hampir 400 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa menyertai sesi libat urus berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menghargai pandangan semua pihak dalam memastikan kemajuan negara bukan sahaja dapat dilihat menerusi angka malah benar-benar dirasai rakyat.
"Kerajaan MADANI merakamkan penghargaan kepada semua yang menyumbang pandangan dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2027.
"Kita harus mendengar suara daripada segenap lapisan masyarakat supaya kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat di seluruh pelosok negara," katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 yang diterbitkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan kepada proses libat urus sebelum belanjawan berkenaan dimuktamadkan.
Antara bidang berkenaan ialah menangani tekanan kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial, memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas, meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti serta memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi.
Majlis itu turut membincangkan usaha memperluas perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan daya saing perniagaan menerusi automasi dan kecerdasan buatan (AI), mempercepat peralihan hijau serta kesiapsiagaan pasaran karbon selain memperkukuh daya tahan isi rumah dan keterjaminan makanan.
MoF berkata sesi berkenaan merupakan permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.
Kementerian itu juga akan mengadakan siri jelajah Belanjawan 2027 di seluruh negara bagi mendapatkan pandangan rakyat dan pemegang taruh.
Pada masa sama, orang ramai boleh mengemukakan pandangan dan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan 2027 sebagai sebahagian usaha menjadikan proses penyediaan belanjawan lebih telus, terangkum dan berteraskan penyertaan rakyat.
Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.




Comments