Belanjawan 2027 dijangka buka peluang ekonomi baharu generasi muda
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Pembangunan belia perlu diberi perhatian khususnya dalam konteks struktur ekonomi negara bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masyarakat menua pada masa depan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, Isu tersebut tidak boleh dilihat hanya dari sudut kebajikan warga emas dan jaringan perlindungan sosial semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan persediaan generasi muda sebagai pemacu ekonomi negara pada masa hadapan.
"Generasi anak mudalah yang sebenarnya perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk kelangsungan ekonomi dan juga kesinambungan pertumbuhan negara.
"Kita bukan semata-mata menguruskan warga yang menua tetapi mempersiapkan anak-anak muda ini untuk kelangsungan kehidupan mereka pada masa akan datang," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas meluncurkan Program Junior Innovathon di Kota Media Angkasapuri pada Jumaat.
Sehubungan itu menurut Akmal, Belanjawan 2027 dijangka memberi fokus kepada usaha membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan muda termasuk dalam segmen yang sebelum ini kurang diakses oleh mereka.
"Terutamanya mungkin dari segi pasaran saham dan pemilikan yang membolehkan mereka mempelajari satu lagi segmen baharu dalam ekonomi," jelasnya.
Sementara itu menurut Akmal, perincian lanjut mengenai inisiatif berkenaan hanya akan diumumkan selepas pembentangan Belanjawan 2027.




Comments