Bekas calon PH DUN Chembong rancang tubuh skuad anak muda Rembau
- Sidiqin Omar

- 3 hours ago
- 2 min read

Bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.26 Chembong, Danish Nazran Murad (gambar), tidak patah semangat untuk terus berbakti kepada rakyat di kawasan itu walaupun tidak memenangi pilihan raya negeri Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ketika ditemui Suara Keadilan beliau memaklumkan akan menggerakkan skuad anak muda Rembau yang akan memberi tumpuan kepada aktiviti kesukarelawanan dan kebajikan.
"Kita merancang untuk menggerakkan satu skuad yang mana anak-anak muda ini boleh bergerak untuk menganjurkan program dan menarik lebih ramai anak muda.
"Tidak kira dari segi program sukarelawan ataupun program-program kebajikan, kita mahu melatih anak-anak muda ini dengan sifat kesukarelawanan," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Meraikan Jentera PRN N26 Chembong baru baru ini.
Menurutnya, usaha itu penting bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang mempunyai kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat dan bersedia menjadi aset kepada komuniti pada masa akan datang.

Danish berkata, perancangan awal penubuhan skuad berkenaan kini sedang diperincikan, termasuk mengenal pasti bentuk program serta lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti.
Katanya, Rembau akan menjadi kawasan tumpuan awal skuad itu sebelum gerakannya dikembangkan ke kawasan lain di Negeri Sembilan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus turun padang dan menyumbang kepada masyarakat di Chembong, dengan kekalahan dalam pilihan raya negeri lalu tidak menjadi penghalang untuknya meneruskan khidmat kepada rakyat.
"Sekarang ini kita dalam peringkat perancangan dan kita akan usahakan sesuatu untuk penubuhan skuad ini.
"Rembau akan menjadi kawasan awal dan insya-Allah kalau sudah berkembang, kita akan kembangkan di seluruh Negeri Sembilan," katanya.
Danish berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa lokasi serta bentuk aktiviti yang sesuai untuk dilaksanakan, namun perincian mengenainya akan diumumkan selepas penubuhan rasmi skuad tersebut.
Beliau menegaskan, pertubuhan itu akan memberi penekanan kepada nilai kesukarelawanan.
"Yang penting kita nak jadikan skuad ini sebagai satu platform untuk melatih sifat kesukarelawanan.
"Perincian mengenai program dan gerak kerja akan kita maklumkan kemudian," katanya lagi.




Comments