Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI) mendakwa kerajaan Pahang telah menaikkan kadar bayaran pendaftaran pindah milik hartanah berkuatkuasa mulai 1 Disember 2020 yang lalu di bawah Kaedah-kaedah Tanah (Pindaan) Pahang 2020 (Pindaan 2020).
Timbalan Presiden K-LITERASI, Salkukhairi Abd Sukor mendakwa, melalui penguatkuasaan warta tersebut kadar bayaran pendaftaran pindah milik telah naik kepada 50% dari duti setem yang perlu dibayar.
Sebelum ini, katanya, kadar bayaran pendaftaran pindah milik yang dikenakan adalah berdasarkan kepada nilai sesuatu hartanah. Misalnya, bagi hartanah yang bernilai di antara RM100,000 hingga RM250,000, bayaran pendaftaran pindah milik sekitar RM400.
"Namun kini dengan kenaikan kadar tersebut, bayaran pendaftaran pindah milik untuk semua jenis hartanah adalah 50% dari duti setem yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Contohnya bagi suatu hartanah yang bernilai RM250,000, duti setem yang perlu dibayar kepada LHDN adalah RM4,000. Oleh itu, bayaran pendaftaran pindah milik yang dikenakan oleh Pejabat Tanah dan Galian dan seluruh Pejabat Tanah di Negeri Pahang adalah RM2,000, berbanding hanya RM400 sebelum ini, iaitu lebih kurang kenaikan 500%.
"Ini merupakan suatu kenaikan yang sangat melampau sedangkan kerajaan negeri Pahang baru sahaja menaikkan kadar bayaran pendaftaran pindah milik tersebut pada tahun 2016 lalu. Tidak sampai 5 tahun, mahu dinaikkan lagi kadar bayaran tersebut. Apakah rasionalnya kenaikan ini?" katanya dalam satu kenyataan selepas sesi perbincangan bersama ADUN Semambu, Lee Chean Chung baru-baru ini.
Menurut Salkukhairi lagi, rakyat negeri Pahang sedang berhadapan dengan kesusahan akibat masalah ekonomi yang tidak menentu berpunca daripada pandemik Covid 19, Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat serta bencana banjir yang belum pulih sepenuhnya
Kerajaan Negeri Pahang, dakwanya dilihat tidak bertindak tidak adil dengan "menghadiahkan" kadar bayaran pendaftaran pindah milik yang tidak masuk akal tersebut.
"Cuba bayangkan, berapa banyak kos tambahan yang perlu ditanggung oleh seseorang pembeli hartanah yang ingin membeli hartanah
"Akhirnya, peguam hartanah seperti kami juga yang menjadi mangsa. Pembeli akan menyalahkan peguam kononnya menaikkan kos guaman.
"Padahal kenaikan kos guaman tersebut adalah akibat daripada kenaikan bayaran pendaftaran pindah milik yang perlu di bayar kepada Pejabat Tanah, bukannya diperolehi oleh peguam.
"Sudahlah pasaran hartanah di negeri Pahang ini semakin tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Dengan kenaikan kadar bayaran pindah milik tersebut, sudah pasti akan menjadikan pasaran hartanah di negeri Pahang menjadi semakin lembab.
"Pembeli mungkin berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan membeli hartanah akibat kenaikan kadar bayaran pendaftaran pindah milik," katanya lagi.
Justeru, K-LITERASI mendesak agar Kerajaan Negeri dapat menarik balik atau setidak-tidaknya menangguhkan penguatkuasaan kadar bayaran tersebut sehingga satu kajian menyeluruh yang melibatkan pandangan semua pihak berkepentingan dilakukan.
"Sekiranya perlaksanaan kadar bayaran tersebut diteruskan juga, biarlah rakyat menilai sejauh mana caknanya kerajaan negeri Pahang ini ingin membantu rakyat," katanya lagi.
Selain itu, K-LITERASI juga menyarankan agar mereka yang bercadang ingin membeli hartanah di Pahang menangguhkan dulu pembelian buat sementara waktu sehingga Kerajaan Negeri menarik balik kadar bayaran tersebut.
Langkah ini sebagai salah satu cara untuk rakyat mendesak Kerajaan Negeri supaya menarik balik perlaksanaan kadar baru pendaftaran pindah milik tersebut.
Comentários