Bayar hutang RM51 bilion, kerajaan masih mampu beri keselesaan kepada rakyat
- Akmal Manaf
- 6 hours ago
- 2 min read

Tidak banyak negara di dunia yang masih mampu memberi keselesaan hidup kepada rakyat, pada waktu sama menghabiskan belanjawan sehingga RM51 bilion membayar hutang yang tidak digunakan dalam menjana pembangunan negara.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin, hal pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa membebankan rakyat merupakan kecemerlangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, di negara membangun lain hutang sebesar itu mungkin menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dan kerajaan akan mengurangkan subsidi atau peruntukan sektor pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
"Pada pandangan saya, kerajaan hari ini di bawah kepimpinan PM Anwar telah menunjukkan komitmen untuk mengurus kewangan negara secara lebih berdisiplin.

"Dalam keadaan pelbagai tekanan iaitu selepas wabak Covid 19 dan kini krisis perang (Timur Tengah), PM (Anwar) masih mengekalkan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti bantuan tunai bersasar, subsidi kepada golongan yang memerlukan, pembangunan pendidikan, kesihatan serta infrastruktur masih diteruskan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keupayaan kerajaan diterajui PM yang juga Menteri Kewangan mengurus pembayaran hutang 1MDB tetapi berjaya mengawal kos sara hidup rakyat.
Selain itu, Asyraf berkata, kejayaan Kerajaan MADANI mengurus ekonomi juga dapat dilihat menerusi pertumbuhan yang terus kukuh, di samping kemasukan pelaburan asing yang kekal memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
"Pada masa yang sama, ekonomi negara juga terus mencatatkan pertumbuhan dan pelaburan asing kekal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
"Juga boleh dilihat bahawa harga barangan masih terkawal dan yang paling penting, bekalan masih terjamin. Sebagai contoh, bekalan telur masih mencukupi," ujarnya lagi.
Asyraf turut mengingatkan masyarakat ketika pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini (2020 - 2022) didominasi BN, Pas dan Bersatu yang amat sukar untuk memberikan keselesaan kepada rakyat apabila ekonomi merudum akibat wabak Covid 19 sehingga bekalan ayam, daging dan telur pun mengalami gangguan pada 2022.
